KAJANG, 17 FEB – BAWAH…… Kekecohan yang berlaku selepas selesai hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Ne­geri (DUN) Semenyih diklasifikasikan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan 147/323 kanun yang sama.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, laporan pertama diterima pada pukul 1.20 petang daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

“Menurut laporan tersebut, anggota berkenaan mendakwa telah dikasari dan dipukul dari arah belakang oleh suspek yang tidak dikenal pasti dalam usahanya menyelamatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang.

“Bagi tindakan siasatan, polis mengklasifikasikan siasatan ini di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya,” katanya.

Tambahnya, sementara laporan kedua pula diterima pada pukul 2.30 petang yang dilaporkan sendiri oleh Syed Saddiq di Balai Polis Sg. Way, Petaling Jaya.

“Dalam laporan tersebut Syed Saddiq mendakwa telah diserang oleh sekumpulan penyokong pembangkang. Bagi tujuan siasatan, kes ini di klasifikasikan di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja mendatang kecederaan dan merusuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden berkenaan diseru untuk menyalurkan maklumat. – WD MY