BANGKOK, 17 Sept – Dipenjarakan…… Lebih 455 rakyat Malaysia sedang meringkuk
di penjara Thailand dengan lebih 90 peratus daripada mereka menjalani hukuman
berkaitan kesalahan dadah.

Menurut Setiausaha Kedua (Konsular) Kedutaan Malaysia di Thailand, Halmah Hassan
berkata sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang berada di penjara
Thailand pula melibatkan kesalahan berkaitan kad kredit.

“Seramai 196 rakyat Malaysia ditahan di lima penjara sekitar Bangkok dan
tujuh penjara lain di beberapa wilayah utara manakala 259 orang lagi ditempatkan
di beberapa penjara wilayah selatan Thai,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ditahan di penjara Thailand itu
berhadapan dengan pelbagai hukuman daripada hukuman mati, penjara seumur hidup
dan penjara selama beberapa tahun.

Walaupun berhadapan hukuman mati, ia akan dikurangkan kepada penjara seumur
hidup dan tempoh itu juga akan dikurangkan lagi sekiranya pesalah berkelakuan
baik ketika di penjara, kata Halmah.

Tujuh daripada 196 rakyat Malaysia yang ditahan di Bangkok dan wilayah utara
adalah wanita iaitu lima orang di Pusat Pemulihan Wanita, Chatuchak di sini dan
dua lagi di Penjara Wanita Chiang Mai, katanya.

Menurut Halmah, pejabat konsular kedutaan negara di Bangkok menguruskan hal
ehwal 196 tahanan rakyat Malaysia di penjara di sini dan utara ibu negara
Thailand itu.

Katanya di antara penjara di Bangkok yang banyak menempatkan tahanan
Malaysia adalah Penjara Reman Bangkok (30), Bambat Piset (40), Penjara Klong
Prem (34) dan Penjara Bangkhwang di Nonthaburi (51).

Pejabat Konsulat Malaysia di Songkla pula menguruskan hal ehwal tahanan
negara yang berada di penjara di 13 wilayah di selatan Thai, katanya.

Halmah berkata pejabat konsular di kedutaan negara di Bangkok itu juga
melakukan lawatan berkala terhadap semua tahanan rakyat Malaysia bagi mengetahui
keadaan terkini dan kebajikan mereka.

Katanya, lawatan itu dibuat kerana mendapati layanan yang diterima tahanan
negara daripada pihak berkuasa penjara adalah lebih baik sekiranya mereka kerap
menerima kunjungan daripada pihak konsular.

“Jika ada tahanan Malaysia di Chiang Mai yang terletak ribuan kilometer di
utara Thailand, kita juga akan melawat mereka.

“Kami juga melakukan tindakan tertentu termasuk berhubung dengan pihak
berkuasa penjara sekiranya menerima aduan daripada tahanan Malaysia dan pihak
Thai amat responsif terhadap aduan yang diterima,” katanya sambil menambah ia
adalah sebahagian daripada tugas sebagai pegawai konsular.

Menurut Halmah, pejabat konsular di kedutaan negara turut menerima
permohonan daripada tahanan Malaysia yang mahu dipindahkan ke penjara di selatan
Thai bagi memudahkan keluarga mereka melawat.

Beliau berkata bagi tahanan Malaysia yang akan dibebaskan daripada penjara
Thai, pihaknya juga akan mengeluarkan surat dan dokumen perjalanan bagi
membolehkan mereka kembali ke tanah air. – WD MY

LEAVE A REPLY