JERANTUT, OKTOBER 12:GURU…. Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan supaya cuti sekolah dilaksanakan secara berperingkat, untuk menjana sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan pelancong.

Presidennya, Jasni Md Kechik, berkata cadangan itu agak janggal dan boleh menjejaskan sistem persekolahan yang sudah disusun secara menyeluruh setiap tahun.

“Selain itu, cadangan berkenaan boleh menyukarkan ibu bapa yang mempunyai anak yang bersekolah di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan SBP Intergrasi di tempat lain kecuali anak mereka bersekolah di kawasan yang sama.

“Malaysia tidak seperti negara lain yang luas dan besar seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China yang mempunyai zon waktu yang berbeza serta pelbagai musim, iklim dan cuaca yang jelas berlainan di antara satu tempat di sana.

“Perjalanan laluan darat dari Johor Baharu ke Kangar, Perlis hanya kira-kira 12 jam berbanding di Amerika Syarikat yang jarak perjalanan merentas daripada sebelah barat ke timur negara itu yang mengambil masa berhari-hari.

“Selain itu, cadangan cuti sekolah berperingkat akan menyukarkan percutian bersama keluarga kerana perbezaan hari cuti sekiranya anak masing-masing bersekolah di tempat lain dan akan “memerangkap” keluarga untuk keluar berrcuti,” katanya.

Jasni mengulas kenyataan Timbalan Menteri kementerian itu, Muhammad Bakhtiar Wan Chik supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri, yang biasanya pada Mac, Jun dan September.

Muhammad Baktiar berkata, mungkin ianya boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

Menerusi cadangan itu, katanya, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang tiba cuti sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Anuar Hussin, pihaknya turut tidak bersetuju cadangan tersebut kerana menjejaskan sistem persekolahan, jadual perjalanan sukan dan pelbagai program di peringkat kebangsaan.

“Pihak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), mempunyai jadual sukan yang padat yang sudah disusun dan disesuaikan dengan sistem cuti sekolah yang seragam.

“Peperiksaan awam, turut terjejas seperti Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sedangkan peperiksaan itu tidak dijalankan jika terdapat cuti umum di negeri terbabit,” katanya.-MY WD