KUALA LUMPUR, 30 Nov – Keselamatan Negara…….. Tiada maknanya negara mencapai kemajuan dan memiliki ekonomi kukuh sekiranya keselamatan negara terutamanya masyarakat terjejas, kata  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan pelbagai
agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk Polis Diraja Malaysia
(PDRM) tidak akan sama sekali berkompromi dengan isu keselamatan.

“Setiap tahun KDN memperlihat keprihatinan terhadap soal kemasyarakatan
khususnya dalam aspek keselamatan kerana soal keselamatan ini tiada kompromi.
KDN mahu terus dekatkan diri di lubuk hati kecil masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ruang Pameran KDN
bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di
sini hari ini.
Sebanyak 10 agensi serta bahagian di bawah KDN terlibat dalam pameran
itu iaitu PDRM, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Jabatan Pendaftaran Negara,
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, Jabatan
Sukarelawan Malaysia, Lembaga Penapisan Filem, Bahagian Kawalan Filem dan
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran.
Mengulas mengenai pameran itu, Ahmad Zahid berkata adalah penting bagi KDN
dan agensi di bawahnya berkongsi perkhidmatan yang ada bagi membolehkan
masyarakat memahami dengan lebih mendalam peranan setiap agensi tersebut dalam
melindungi mereka.
“Terima kasih kepada pegawai kanan KDN dan semua ketua jabatan termasuk PDRM
dalam usaha pencegahan jenayah,” katanya. – WD MY