KOTA KINABALU, 1 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan saiz sesebuah parti yang menjadi rakan kongsi dalam BN bukan keutamaan sebaliknya yang lebih penting ialah kesetiaan dan komitmen parti-parti komponen terhadap BN.

Menurut Najib, atas prinsip berkenaan yang dipegang BN selama ini,
membolehkan BN terus berkuasa sehingga Malaysia mampu mengharungi apa juga
dugaan sama ada dalam masa susah dan senang.

“Saya sebagai Pengerusi BN bukanlah (melihat sangat) pada saiz (parti). Bagi
saya saiz tidak penting, apa yang penting ialah kesetiaan dan komitmen anda. Di
atas prinsip inilah negara kita mengorak langkah ke hadapan. Kita telah berjaya
sama ada dalam keadaan yang memberangsangkan atau dalam keadaan yang mencengkam.

“Tetapi BN terus membuktikan bahawa inilah parti di mana rakyat boleh
bergantung harap, melindungi kepentingan semua kaum, tidak kira kumpulan etnik
ataupun agama. Payung BN bersifat inklusif dan komprehensif,” katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan
Tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di sini hari ini. Turut hadir Presiden
PBRS Tan Sri Joseph Kurup dan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Badan
Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri meminta kesemua 13 parti yang bergabung dalam BN agar terus
mempertahankan prinsip berkenaan yang menuntut semua komponen berinteraksi untuk
mencari pemuafakatan dan persefahaman serta bekerjasama bagi mencapai objektif
utama BN iaitu menubuhkan kerajaan yang kuat.

Katanya dalam berhadapan apa-apa isu atau permasalahan, semua komponen BN
perlu menentukan bahawa mereka tidak lari daripada objektif utama penubuhan
gabungan itu kerana tidak ada pertimbangan lebih besar dan penting selain
daripada membentuk kerajaan BN yang kuat.

“Pertimbangan dari segi kepentingan yang terlalu sempit, pertimbangan yang
bersifat parokial, pertimbangan yang bersifat terlalu melihat ke dalam diri,
sehingga menjejaskan kepentingan utama, kita perlu ketepikan kerana kalau kita
tidak ada kuasa politik, tidak ada apa yang bermakna sama sekali bagi kita.

“Lebih baik kalau kita terpaksa berkorban sedikit asalkan kuasa itu di dalam
tangan parti BN. Jadi kalau kita ada kuasa, maka perjuangan boleh diteruskan
walaupun kita tak mungkin dapat semua yang kita kehendaki,” katanya.

Najib mengakui bahawa masih ada permintaan daripada parti-parti komponen BN
yang belum dipenuhi namun percaya semua anggota BN berhadapan situasi yang sama
dan ruang untuk mempertimbangkan permintaan parti-parti komponen berkenaan tetap
ada dan boleh dilakukan dalam semangat kekeluargaan BN.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY