KUALA LUMPUR, 2 Feb – SIAP SEDIA….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Malaysia bersedia untuk menangani sebarang ancaman keselamatan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Kesembilan yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 13 Februari ini.

Ahmad Zahid berkata sepanjang berlangsungnya forum bertaraf antarabangsa itu, seramai 2,700 anggota keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditugaskan.

Katanya, seramai 25,000 delegasi yang terbabit dalam forum selama tujuh hari itu dan memerlukan kawalan maksimum.

“Lebih 50 peratus atau kira-kira 12,500 adalah delegasi luar negara dari 194 negara.

“Jadi, kita memandang serius soal keselamatan sepanjang forum berlangsung,” katanya sidang media selepas meninjau kesiapsiagaan Latihan Amal Anti Keganasan sempena penganjuran World Urban Forum (WUF) Ke-9 di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata, selain kawalan di lokasi forum, pihaknya turut mengetatkan kawalan di pintu masuk utama negara seperti di lapangan terbang selain kawasan penginapan delegasi.

Katanya, beliau yakin sepanjang forum berlangsung, kadar sifar kejadian ancaman keselamatan dapat dicapai.

“Kawalan kita ini merangkumi semua, bermula dari kawasan ketibaan (lapangan terbang), lokasi forum hinggalah kawalan di kawasan penginapan mereka.

“Kita percayai akan capai sifar kemalangan (termasuk ancaman keselamatan) jika mengambil kira penganjuran program bertaraf antarabangsa yang pernah diadakan di negara ini termasuklah penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu,” katanya. – WD MY