KUALA LUMPUR 7 Mei – Perbezaan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru rakyat negara ini untuk mengtepikan segala ‘kotak pemisah’ (perbezaan) antara etnik dalam usaha mencapai mobiliti sosial secara vertikal.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu mampu dilaksanakan menerusi pendidikan yang sekali gus boleh meningkatkan status sosial seseorang individu berkenaan.

“Di dalam bidang pendidikan, tidak kira sama ada anda Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau lain-lain bangsa, pendidikan adalah keutamaan kerajaan kita untuk memberikan mobiliti sosial secara vertikal,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-35 Sri Murugan Centre (SMC) di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah SMC, Tan Sri Dr. M. Thambirajah; Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan.

Katanya komitmen pemimpin-pemimpin negara terdahulu hingga sekarang dalam bidang pendidikan juga telah berjaya membentuk golongan berpendapatan pertengahan.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga akan membawa cadangan yang dikemukakan pengasas Sri Murugan Centre (SMC) Tan Sri Dr M Thambirajah ke mesyuarat Kabinet akan datang.

Tiga cadangan Thambirajah dalam ucapannya ialah memberi kesaksamaan peluang pendidikan dan perniagaan kepada semua, memberi biasiswa kepada semua pelajar kaum India yang mendapat  keputusan 4A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta meningkatkan bilangan pengambilan pelajar kaum India dalam kursus kritikal di universiti awam.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan RM3 juta kepada SMC.

SMC yang ditubuhkan pada tahun 1982 merupakan pusat tuisyen pendidikan untuk pelajar kaum India.

Bermula dengan hanya empat pusat, ia kini mempunyai 103 pusat di seluruh negara dan membantu lebih 25,000 pelajar dalam mencapai kecemerlangan pendidikan. – WD MY