KUALA LUMPUR, 7 Dis – AMANAT…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu amanat Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak supaya ahli UMNO bersatu dan mengenepikan masalah dalaman harus dipegang erat oleh semua ahli parti sehingga ke peringkat akar umbi.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata, jika kepemimpinan dan parti patuh kepada pesanan itu, Barisan Nasional (BN) mampu mencapai kejayaan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), termasuk memperoleh majoriti dua pertiga.

“Jika kedua-dua elemen itu diperkasakan sepenuhnya, ditambah dengan dokongan dari parti komponen serta mengetuk hati dan minda mereka yang berada dalam kalangan pengundi atas pagar, insya Allah harapan Perdana Menteri dapat diterjemahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Naib Presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas mendengar Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sejak mengambil alih kepemimpinan UMNO pada 26 Mac 2009, Najib berjaya menggarap penyatuan ahli UMNO di semua peringkat dan melaksanakan transformasi yang dijanjikan dalam parti serta kerajaan.

“Presiden juga menyebut mengenai tindakan pantas yang harus kita lakukan iaitu bergerak sebagai satu pasukan dengan penuh keyakinan dan pantas, bertempur di alam siber dan kita harus bertaruh dalam perjuangan ini dengan penuh tawakal serta keimanan.

“Beliau ingatkan jika BN kecundang, ‘harga’ yang harus dibayar adalah mahal. Selepas ini, saya akan terus menggerakkan jentera parti bersama jentera perhubungan negeri, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) (bagi menghadapi PRU-14),” katanya. – WD MY