KUALA LUMPUR, 16 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai mengambil keterangan daripada warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bangkok, Thailand.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Justo telah memberi kerjasama yang baik sepanjang proses mengambil keterangan berkenaan.

“Kita telah merakam keterangan Justo semalam di penjara di Bangkok. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis dan pihak penjara Thailand. Saya menunggu pegawai saya pulang hari ini untuk mendapatkan maklum balas.

“Justo memberikan kerjasama yang baik semasa sehari pihak polis merakam percakapannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Hijau PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) hari ini.

Tambahnya, siasatan akan diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa Thailand untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan kes berkenaan.

“Selepas kami merakam percakapan suspek, kami juga menunggu dokumen-dokumen daripada pihak berkuasa Thailand. Dokumen-dokumen ini akan menyusul selepas rakaman percakapan ini. Kita kena tunggu sedikit lagi,” kata Khalid.

Rakaman percakapan dengan Justo dilakukan PDRM pada Selasa, diketuai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (Siasatan/Perundangan), Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Justo kini menjalani hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku mencuri daripada Petrosaudi International sebagai cubaannya untuk memeras ugut.

LEAVE A REPLY