SHAH ALAM, 4 Dis – DIALOG….. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak takut untuk mengadakan program dialog dengan mahasiswa kerana yakin berada di pihak yang betul.

Najib berkata, keputusan kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bukti keterbukaan kerajaan yang mahu mahasiswa bebas berfikir dan dapat mengambil bahagian dalam arus politik serta kepemimpinan negara.

“Siapa yang pinda AUKU? Inilah sifat keterbukaan yang dibawa oleh saya sebagai Perdana Menteri. Saya tidak takut (pinda AUKU) kerana apa yang saya buat ini adalah keputusan betul dan saya mahu mahasiswa bersama kita.

“Kita juga adakan Program Parlimen Belia. Ia adalah pendekatan baharu diperkenalkan kerajaan bagi mengetengahkan bakat kepemimpinan anak muda untuk menerajui negara pada masa depan.

“Saya difahamkan menteri pun berpeluh menjawab soalan ketika berdialog dengan mahasiswa, tetapi tidak mengapa kita benarkan mahasiswa bertanya tanpa sekatan,” katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) 5.0 di Dewan Agung Tuanku Cancelor (DATC) UiTM,  malam tadi.

Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah; Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said dan Pengarah PEMANAS 5.0, Mohd Shahar Abdullah.

Persidangan PEMANAS 5.0 berlangsung selama enam hari bermula 29 November lalu disertai 350 mahasiswa universiti awam dan swasta daripada pelbagai latar belakang.

Bertemakan ‘Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baharu’, persidangan anjuran bersama Biro Pendidikan UMNO dan Yayasan Minda di Pusat Dagangan Antarabangsa Putra di sini itu akan membincangkan empat bidang utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan.

Najib berkata, ada pihak tertentu cuba memukul canang kononnya mahasiswa menolak UMNO dan kerajaan yang ada hari ini, namun hakikatnya dakwaan itu tidak benar.

“Sejak PEMANAS berjalan sehingga ke siri 5.0, sudah banyak evolusi perubahan yang cukup menakjubkan. Saya yakin roh parti keramat UMNO adalah dalam jiwa pemimpin PEMANAS.

“Saya yakin mahasiswa sedar bahawa masa depan generasi millenium tidak boleh dipisahkan dengan perjuangan yang dibawa UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut mengingatkan mahasiswa jangan memperjudikan masa depan negara serta menghargai nikmat yang dinikmati sekarang ini.

“Inisiatif Transformasi Nasional (TN50) untuk siapa kalau bukan untuk generasi masa depan. Begitu juga hubungan baik saya dengan pemimpin utama dunia, ia adalah demi generasi masa depan,” katanya. – WD MY