KUALA LUMPUR, 4 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
telah mengarahkan Ketua Audit Negara untuk mengesahkan secara bebas akaun
1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini, laporan Ketua Audit
Negara akan diserahkan untuk pemeriksaan telus kepada Jawatankuasa Kira-kira
Awam (PAC) yang bersifat bipartisan sepenuhnya dan mencerminkan komposisi
Parlimen.

Ia menyatakan Perdana Menteri telah memberitahu Kabinet mengenai langkah
itu.

“Jika terbukti ada salah laku, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa
pengecualian,” kata Najib.

Kenyataan itu menerangkan Perdana Menteri hari ini memanggil 1MDB dan juru
audit mereka, Deloitte menghadap Kabinet berikutan laporan media baru-baru ini
berkaitan syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu.

“Setelah menerima penjelasan dari 1MDB dan Deloitte, Kabinet melahirkan
keyakinan bahawa tidak terdapat sebarang salah laku dalam 1MDB, dan hasrat
mereka supaya syarikat itu dibenar melaksanakan hasil semakan strategiknya yang
dicadangkan,” kata kenyataan itu.

Walaupun demikian, ia mengambil perhatian bahawa kerajaan telah meminta
Ketua Audit Negara memeriksa akaun 1MDB sebagai langkah lanjutan.

Ia berkata 1MDB telah memberi taklimat mengenai situasi semasanya dan
menjawab siri pertanyaan dikemukakan oleh menteri-menteri kabinet, termasuk
Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Deloitte, memberi keterangan menyeluruh tentang urusan mereka
dengan 1MDB dan mengesahkan bahawa firma itu telah mengaudit dan mengesahkan
akaun syarikat berkenaan.

“Kabinet diberitahu bahawa dakwaan baru-baru ini yang ditujukan kepada 1MDB,
adalah berkaitan transaksi pihak ketiga seperti Petrosaudi, bukan 1MDB.

“Pelaburan relevan 1MDB telah dikembalikan sepenuhnya dengan keuntungan
signifikan yang tersedia diaudit,” menurut kenyataan itu.
Dalam respons segera, presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul
Kanda berkata syarikat itu menyambut baik permintaan perdana menteri supaya
Ketua Audit Negara mengesahkan akaun 1MDB.

Ia menyatakan akaun itu telah diaudit oleh Deloitte, salah sebuah firma
terkemuka di dunia.

“Kami akan bekerjasama penuh dengan Ketua Audit Negara dan berharap hasil
siasatan beliau (akan) menamatkan spekulasi baru-baru ini,” katanya.

Arul berkata adalah jelas serangan terhadap 1MDB bermotif politik.
“Ini percubaan yang terancang untuk merosakkan syarikat itu dengan
menyebarkan tuduhan dan spekulasi tidak berasas, yang seterusnya berpotensi
merosakkan ekonomi,” kata beliau.-Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY