KUALA LUMPUR, 19 Okt – Reman Dua Hari….. Ketua Kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi, ditahan reman dua hari.

Beliau ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sebaik tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu, kira-kira jam 8 pagi.

Polis juga menahan seorang lagi pengendali Facebook dipercayai pembantu kepada Jamal dikenali sebagai Azli di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan fitnah, Seksyen 504 kanun sama atas kesalahan pecah keamanan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, polis menunggu kepulangan Jamal dari luar negara untuk merakamkan kenyataannya mengenai pertembungan di antara baju merah dan konvoi BERSIH 5.0 di Sabak Bernam, Selangor, dua minggu lalu.

Malah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, turut mengumumkan pihaknya akan menyiasat Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu berhubung dakwaan amaran mengenai ‘rusuhan 13 Mei’ sekiranya konvoi dan perhimpunan Bersih diteruskan. – WD MY