Ketua Jurulatih Kedah Lapor Polis Dakwaan Terima Rasuah

0
90

ALOR SETAR, 10 Nov – LAPOR…… Nidzam Adzha Yusoff membuat laporan polis berhubung kenyataan yang tular di media sosial mengaitkan pemain Kedah dan dirinya yang dituduh menerima rasuah sebelum pertandingan akhir Piala Malaysia minggu lalu.

Ketua jurulatih Kedah itu tampil membuat laporan di Balai Polis USJ Subang Jaya hari ini selepas mendapat maklumat mengenai tuduhan individu berkaitan isu berkenaan yang tular dalam media sosial semalam.

“Saya hadir pada hari ini di Balai Polis USJ Subang Jaya bagi membuat laporan berkaitan isu tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh individu tertentu ke atas saya dan enam pemain selepas mendapat maklumat itu semalam.”

“Saya rasa ini satu tuduhan berunsur fitnah dan boleh menjatuhkan maruah serta reputasi saya dan enam pemain Kedah.”

“Saya amat kecewa dengan tuduhan tidak berasas ini dan mahu pihak bertanggungjawab khususnya polis menyiasat dengan terperinci supaya semua penyokong dapat mengetahui hal sebenarnya.”

“Selagi tidak disiasat, tanggapan negatif penyokong akan memberi kesan ke atas reputasi dan kerjaya saya serta pemain di masa depan.”

Di laman media sosial, seorang individu membuat komen dengan tajuk ‘calon jual game Final Piala Malaysia 2017’ dan tertera tujuh nama membabitkan pemain dan jurulatih Kedah. – WD MY