MELAKA, 8 Mac – Keluar Dewan….. Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman
Mohamad hari ini mengarahkan Ketua Pembangkang Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh)
keluar dewan dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan itu hari ini.
Othman membuat keputusan itu setelah mendapati Khoo melanggar peraturan
dewan dengan mengingkari arahan Speaker supaya duduk selain berterusan menyerang
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron yang sedang menjawab soalan tambahan Khoo
mengenai isu rasuah di negeri ini.
Keputusan itu juga menyebabkan dua lagi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN)
DAP iaitu Tey Kok Kiew (Bandar Hilir) dan Lai Keun Ban (Kota Laksamana)
bertindak keluar dewan bagi membantah keputusan tersebut.
Terdahulu, Khoo dalam soalan tambahannya ingin tahu berhubung status projek
dan pegawai awam yang terlibat dengan kegiatan rasuah di negeri ini.
Idris menjawab pegawai terlibat diambil tindakan mengikut prosedur
perkhidmatan awam antaranya ditukar jawatan dan tempat bertugas.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memberikan maklumat mengenai status projek
terlibat kerana tidak masuk campur dalam urusan melibatkan siasatan yang
dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khoo bagaimanapun tidak berpuas hati dengan jawapan itu dan berterusan
menyerang Idris hingga tidak mempedulikan arahan Othman untuk duduk bagi
memberikan ruang kepada Idris memberikan penerangan lanjut mengenai isu
tersebut. – WD MY