Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bidas Tindakan Pengusaha Hotel

0
41

KUANTAN, 12 Nov – BIDAS…. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan garis panduan melarang wanita Islam bertudung, bekerja di bahagian kaunter hadapan (frontdesk) adalah melanggar hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan pengusaha hotel  itu salah malah di peringkat antarabangsa juga tidak ada polisi sedemikian.

“Majikan Malaysia perlu tahu Perlembagaan Persekutuan iaitu kebebasan beragama yang menjadi tunjang kestabilan dan perlu dihormati. Malah perkara ini juga pernah terjadi ke atas adik ipar saya ketika pergi temuduga kerja dan majikan memaklumkan dia tidak mendapat kerja kerana memakai tudung dan perlu memakai skirt,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bersama Ketua Puteri Cawangan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Peringkat Pahang hari ini.

Sebelum ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dilaporkan mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk).

MAH mendakwa setiap hotel terutamanya hotel antarabangsa di Malaysia, mempunyai prosedur standard operasi (SOP) dan polisi syarikat yang ditetapkan.

 

Mas Ermieyati menegaskan yang isu sedemikian tidak sepatutnya timbul ketika negara ke arah Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Puteri UMNO mahu kerajaan melihat isu ini secara serius. Ia tidak adil kepada golongan wanita khususnya anak muda yang ingin mencari pekerjaan,” katanya.