PUTRAJAYA, 6 Sept – KUNJUNGAN….. Ketua Polis Negara yang baharu Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di pejabatnya, di sini hari ini.

Pertemuan empat mata antara Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dan Mohamad Fuzi itu berlangsung kira-kira sejam.

Mohamad Fuzi yang merupakan bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib pada 4 Sept.

Mohamad Fuzi, 58, menyertai pasukan beruniform itu pada 8 Jan 1984 sebagai kadet ASP di Pulapol.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Inteligen Politik E4 Cawangan Khas Bukit Aman, Penolong Pengarah Cawangan Khas (Bahagian Politik dan Risikan) yang memangku pangkat SAC I pada 2006 dan Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015.

Beliau juga pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selama dua bulan pada 2014. – WD MY