KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Bidas…… Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai punca kekecohan pada forum ‘Nothing To Hide 2.0’ semalam adalah tidak profesional dan memalukan.

Beliau membidas kerana tuduhan itu semata-mata mahu menutup kelemahan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) serta rakan pakatan mereka.

“Kepemimpinan Armada PPBM sendiri pun tak percaya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal menjawab soalan yang dikemukakan, sekali gus menunjukkan program itu tidak mencapai matlamat sebenar.

“Kekecohan ini memberi tamparan hebat buat Armada dan lebih memalukan apabila Azmin dan Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyalahkan Perdana Menteri dan UMNO kononnya menjadi dalang kepada kekecohan itu.

“Mereka cuba menutup kelemahan sendiri dengan meletakkan kesalahan kepada orang lain…ini sangat tidak profesional dan memalukan,” katanya.

Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah mengulas mengenai kekecohan ketika program ‘Nothing to Hide 2.0’ di Shah Alam, Selangor.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, dalam kenyataannya semalam, menuduh Perdana Menteri menggunakan gangsterisme untuk menggagalkan forum berkenaan. – WD MY