KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Isu standard dan peraturan perdagangan yang
yang berbeza adalah antara keutamaan yang diberi perhatian oleh negara anggota
ASEAN, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa
Mohamed.

“Bila kita jumpa para usahawan, mereka kata sukar untuk jalankan perniagaan
di negara ASEAN kerana standard kita berbeza, termasuk peraturan,” katanya
kepada media selepas menyampaikan ucapan pembukaan di Mesyuarat Menteri-Menteri
Ekonomi ASEAN (AEM) ke-47 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Pusat Konvensyen
Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata dalam merangka Visi Komuniti ASEAN 2025, negara anggota
meletakkan keutamaan mereka untuk memperbanyakkan standard yang sama, peraturan
yang hampir sama serta mengurangkan halangan bukan tarif.

Dalam pada itu, kata Mustapa, komuniti ASEAN memerlukan penetapan minda yang
bersifat serantau dalam mencapai integrasi ASEAN yang lebih mantap.

“Kita mahu mencapai integrasi yang lebih mantap dari segi perdagangan dan
pelaburan dan ini memerlukan penetapan minda serantau, yang mana kita ada
kepentingan negara yang penting tapi kita juga mahu kepentingan serantau itu
diberi perhatian.

“Jadi penetapan minda serantau itu mustahak dengan ada beberapa perkara yang
kita tahu sukar untuk kita atasi, termasuk kepentingan nasional, tapi kita harap
di tahun-tahun akan datang, kepentingan ASEAN itu akan diberi perhatian yang
lebih,” katanya.-Sharini Abdulah, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY