SHAH ALAM, 7 Ogos – Yakin…….. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan keyakinan beliau terhadap timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sebalik apa yang dilihat sebagai cubaan seorang bekas pemimpin negara untuk melaga-lagakan mereka.

Mereka berdua telah bersama-sama mengharungi waktu susah dan senang sejak 1986, kata Najib yang merujuk kepada semasa beliau menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan sebelum disertai Ahmad Zahid sebagai setiausaha politiknya.

Selain itu, Najib yang juga presiden UMNO berkata beliau dulu pernah membantu Ahmad Zahid mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO Bagan Datoh (kini Bagan Datuk).

“Sebab itu saya ingin beritahu anda bahawa pimpinan UMNO kukuh, yakinlah… saya tetap yakin pada timbalan saya (Ahmad Zahid). Kita tidak usah fikir bab ini, banyak lagi yang perlu kita lakukan,” kata beliau.

Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) turut memperkatakan tentang tindakan Dr Mahathir menggunakan kuasanya ketika menjadi perdana menteri apabila menahan Ahmad Zahid di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

“Bayangkan Ahmad Zahid yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Malaysia kena masuk ISA. Dia (Dr Mahathir) kemudian hantar dua SB (pegawai Cawangan Khas) pergi jumpa Ahmad Zahid dan beritahu kalau nak keluar daripada ISA lebih awal Ahmad Zahid perlu tandatangan surat letak jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia…akhirnya dia tandatangan lepaskan jawatan,” kata perdana menteri.

Najib seterusnya berkata Ahmad Zahid sekali lagi didatangi pegawai SB keesokannya dan memintanya menandatangan satu lagi surat bahawa dia meletak jawatan atas kerelaan hati.

“Ahmad Zahid ditekan ibarat pistol di letak pada kepalanya… sebab itu Ahmad Zahid tidak lupa… sebab itu tidak masuk akal dia jumpa Tun M minta sokongan untuk gulingkan saya. Ini satu fitnah sama sekali, ” tegas perdana menteri. – WD MY