ALOR SETAR, 15 APRIL – PENERANGAN…. Satu delegasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat kunjungan ke Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi menerangkan peta hala tuju F:30 dan Projek Pemerkasaan Ahli Gabungan (ACE).

Delegasi yang diketuai sendiri oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin disambut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku Presiden KFA.

“FAM mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mukhriz dan KFA atas kesudian menerima kunjungan ini yang juga kunjungan hormat kedua selepas kami bertemu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), dua minggu lalu.

“Tujuan utama kunjungan hormat ini sudah tentu adalah untuk kami di FAM dapat mengenali lebih rapat barisan pengurusan tertinggi persatuan bola sepak di peringkat negeri yang kebanyakannya kini dibarisi orang baharu.

“Kami mahu memastikan ahli-ahli gabungan kita ini memahami serta mempunyai citarasa atau hala tuju yang sama dengan apa yang sedang diusahakan FAM menerusi Roadmap F:30 dan projek ACE.

“Jika tidak mencapai 100 peratus persamaan sekali pun, andai berjaya mencecah 70 peratus keserasian dengan ahli gabungan ini, ia sudah cukup baik dalam memastikan mereka dapat memahami apa yang sedang FAM usahakan ini,” kata Hamidin.

Selain Hamidin dan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalinggam, wakil FAM yang turut serta dalam pertemuan itu adalah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi; Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram; Exco FAM, Datuk Aminuddin Omar, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Datuk Jefferey Low Han Chau, ACP (B) Md Dali Wahid dan Datuk Suraya Yaacob.

Manakala wakil KFA yang turut terbabit adalah Timbalan Presiden KFA, Tuan Abdul Rahman Abdullah; Naib Presiden KFA, Anas Hafiz Mustaffa, Khamal Idris Ali dan Mohd Yusuri Yusof; barisan Exco KFA serta Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris. – WD MY