KUALA LUMPUR, 18 Nov – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memutuskan pertuduhan dihadapi bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang adalah tidak mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen untuk perbicaraan.

Khairuddin dan Matthias dilepaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547), yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.

Lima lokasi itu adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid serta ahli keluarga Khairuddin dan Matthias.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY