MELAKA, 26 JULAI – KELUAR PARTI…. Seramai 21 ahli PKR Cabang Masjid Tanah yang diketuai naib pengerusinya, Khairuddin Ibrahim mengumumkan keluar parti kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan kepimpinan peringkat negeri.

Khairuddin ketika dihubungi berkata keputusan itu dibuat kerana mereka tidak berpuas hati dengan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR negeri, Halim Bachik yang didakwa mengamalkan corak kepimpinan ala Barisan Nasional (BN).

“Tidak hanya mengamalkan corak kepimpinan ala BN, PKR Melaka di bawah Halim dilihat hanya beri perhatian kepada kumpulan disenangi beliau saja, selain mengamalkan sikap pilih kasih.

“PKR Masjid Tanah di bawah Halim juga semakin rosak apabila golongan ‘salin kulit’ mengambil alih kepimpinan dengan bantuannya,” katanya.

Khairuddin sudah memegang jawatan Naib Pengerusi PKR Cabang Masjid Tanah selama tiga penggal, manakala Halim adalah Ketua Cabang PKR Masjid Tanah yang dipilih sebagai Pengerusi MPN PKR negeri selepas pemilihan parti pada tahun lalu.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, hasrat untuk keluar parti bersama 20 ahli lain telah diusulkan menerusi sepucuk surat yang dihantar pada 17 Mei lalu tetapi mendakwa surat itu ‘dibakul sampahkan’ oleh ketua cabang berkenaan.

“Selepas menunggu lama, saya akhirnya memutuskan untuk mengajukan satu lagi surat yang sama isinya pada Selasa lalu berkenaan hasrat sama.

“Sebenarnya ramai lagi yang akan menyusul melakukan tindakan sama dan saya bercadang untuk mengumumkannya secara rasmi dalam satu majlis khas dalam masa terdekat ini,” dakwanya.

Khairuddin berkata, beliau menyertai PKR pada 1999, ketika Khalid Jaafar menerajui PKR Melaka, dan membuka cawangan di Pengkalan Balak sehingga gabungan Pakatan Harapan (PH) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu.

“Tetapi, selepas Halim dilantik sebagai pengerusi, dia seolah-olah lupa diri. Orang lama ditendang keluar, tidak diberi jawatan sedangkan ahli yang disenanginya diberikan tempat,” katanya.

Khairuddin turut menjelaskan ahli yang keluar parti itu bukan didorong oleh perasaan tamak kuasa sebaliknya kecewa apabila jasa dan pengorbanan mereka tidak dihargai.

Bagaimanapun, katanya kumpulan itu tidak akan menyertai BN.

Sementara itu Halim ketika dihubungi berkata, beliau menghormati tindakan Khairuddin dan beberapa ahli lain yang berhasrat untuk keluar parti itu.

“Saya tiada masalah sekiranya mereka ingin keluar parti, itu adalah hak masing-masing. Dengan keluarnya seramai 21 orang ini, ia langsung tidak menjejaskan pentadbiran di peringkat cabang Masjid Tanah dan negeri,” katanya. – WD MY