JASIN, OGOS 6:LEPASKAN…Jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan perlu kekal positif meskipun ada kemungkinan terpaksa berpisah dengan jurulatihnya Mohd. Poad Md. Kassim, kata legenda 100 meter, Datuk Rabuan Pit.

Jurulatih acara pecut negara Mohd. Poad dikhabarkan cuba dipikat sebuah negara jiran dan juara 100 meter Sukan Asia 1982, Rabuan menasihatkan Khairul Hafiz agar bersedia dengan kemungkinan itu serta memandang jauh dan bersedia untuk menerima perubahan.

“Pada pendapat saya, tentang tawaran yang ditawarkan (sekiranya benar) kepada Cikgu Mohd. Poad selaku jurulatih kepada Khairul Hafiz, saya rasa tawaran itu kalau baik, saya rasa dia kena pandang jauhlah.

“Kepada siapa juga jurulatih, memang kita sayangkan mereka kerana jasa yang telah dihulurkan itu akan kekal dalam ingatan dan beri kesan mendalam kepada kita sebagai seorang atlet. Kerana pada saya, saya sebagai seorang bekas atlet, disebabkan kita telah menerima pelbagai pengalaman serta pengetahuan daripada seseorang jurulatih, kita nak lepaskan dia tu rasa macam terhutang budi.

“Kita sebagai atlet, kita kena melihat dan jika untuk masa depan jurulatih (menerima tawaran pihak luar), kita kena lepaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan dan Penerimaan Obor Program Larian Obor Asia Pacific Masters Games (APMG) Penang 2018 Peringkat Negeri Melaka di Sungai Rambai, di sini hari ini.

Rabuan diminta mengulas berhubung keengganan Khairul Hafiz menerima angin baharu dengan bertukar jurulatih sekiranya Mohd. Poad berhijrah ke luar negara apabila dilaporkan bakal menjadi jurulatih di salah satu negara Asia Tenggara.

Sementara itu, Rabuan yang memenangi pingat emas tunggal negara dalam Sukan Asia 1982 di New Delhi turut berpendapat, kadangkala ilmu yang diperoleh daripada jurulatih berbeza memberikan satu pengetahuan dan pengalaman baharu kepada atlet.

“Jadi, saya rasa harus kita berubah kalau perkara itu mendatangkan kebaikan dan saya rasa sudah tiba masanya. Jurulatih saya pun suatu masa dahulu ramai jugalah, dalam enam orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, seseorang atlet itu tidak boleh sekadar berjiwa besar dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencapai kejayaan kerana disiplin, gaya hidup dan cara pemakanan turut memainkan peranan penting.

“Sebagai seorang atlet, apabila ada keinginan tinggi, perkara pertama adalah perlu berdisiplin, mesti jaga, bahkan cara hidup, pemakanan, latihan bersistematik dan jangan kita meninggi diri serta merendahkan seseorang, bak kata pepatah Melayu ‘ikut resmi padi, lagi berisi, lagi dia tunduk’ kerana bukan takut tetapi menghormati,” katanya.

Selain itu, Rabuan turut menegaskan sains sukan adalah amat penting pada zaman kini dan negara perlu ke arah itu demi kepentingan sukan negara.-MY WD