KHAIRY: JANGAN IKUT ‘CAI’

KHAIRY: JANGAN IKUT ‘CAI’

586
0

KUANTAN, JUN 28….’CAI’….perwakilan UMNO perlu menggunakan kuasa undi mereka untuk menentukan barisan kepemimpinan terbaik tanpa perlu berpandukan kepada senarai nama calon yang perlu diundi atau ‘cai’ jika ada diedarkan oleh mana-mana pihak di peringkat atas menjelang pemilihan parti itu, Sabtu ini.

Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, biarlah perwakilan di peringkat akar umbi yang menentukan barisan kepemimpinan parti berkenaan supaya keputusan pemilihan kali ini mencerminkan kehendak rakyat.

“Biar apapun cai yang diberikan, kita ambil sahaja tetapi untuk menentukan pemimpin, kita ada kuasa. Ketua bahagian seorang sahaja, perwakilan ada 1,000 orang, 600 orang, 500 orang.

“Mengapa kita tidak percaya kepada ahli biasa kali ini. Merekalah yang bersama dengan rakyat, ahli biasalah yang merasai denyut nadi rakyat. Kita hendak supaya kali ini keputusan dalam pemilihan UMNO mencerminkan kehendak rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan ahli UMNO negeri di Gambang di sini lewat malam tadi.

Khairy yang mengistilahkan pemilihan UMNO kali ini sebagai masa kebangkitan para perwakilan berkata, keputusan yang dibuat Sabtu ini bukan untuk ahli parti itu semata-mata tetapi sebenarnya isyarat besar kepada rakyat bahawa UMNO sedia berubah.

Katanya, keputusan yang dibuat bukan untuk menentukan siapa yang menjadi Presiden UMNO sahaja tetapi yang akan menjadi ketua menerajui parti tersebut berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Kita kena pilih calon yang kita rasa diterima rakyat dan calon yang dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO pada pilihan raya umum akan datang.

“Kita kena pilih calon yang ada tenaga ke bawah membina semula UMNO daripada keruntuhan pada Pilihan Raya Umum Ke-14,” katanya.