SERDANG, 5 Dis – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari
ini memberi jaminan keselamatan rakyat dan tetamu dari luar negara sentiasa
menjadi keutamaan pihaknya, termasuk pemain dan pegawai pada Kejohanan Skuasy
Wanita Dunia 2015.

Beliau mengulas mengenai keraguan penganjur, Kumpulan Hallmark Events bahawa kejohanan
itu mungkin ditangguhkan atas faktor keselamatan adalah tidak berasas,
sebaliknya lebih bersandarkan kepada laporan media mengenai keadaan di sesebuah
negara.

Khalid berkata dakwaan penganjur yang berpangkalan di Hong Kong itu juga
dibuat tanpa terlebih dahulu bertanyakan kepada pihak polis berkenaan situasi
keselamatan di negara ini.

“Saya pun tak faham dengan penganjur kejohanan ini…mereka tidak pernah
bertanya kepada polis, malah kita sekali-kali tidak pernah memberi apa juga
nasihat kepada mereka bahawa negara ini tidak selamat.

“Saya pun tak tahu apa masalah sebenarnya, mungkin mereka ada masalah
kewangan,” katanya.

Khalid berkata sebagaimana polis memastikan tahap keselamatan terjamin
semasa persidangan ASEAN ke-27 baru-baru ini, beliau menegaskan bahawa
memastikan keselamatan pemain skuasy pada kejohanan itu bukan satu masalah
kepada pihaknya.

Demi memastikan dakwaan itu tidak berlanjutan, beliau berkata Polis
Kontinjen Kuala Lumpur telah diarahkan untuk memanggil penganjur kejohanan itu
bagi dirakamkan kenyataan berhubung kenyataan yang dibuat.

“Saya telah arahkan polis Kuala Lumpur untuk memanggil penganjur ini sebab
kita nak tahu lebih lanjut berkenaan ancaman keselamatan yang mereka maksudkan,”
katanya.

Sebelum ini, hasrat penangguhan kejohanan atas alasan keselamatan turut
mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu
Kementerian Belia dan Sukan serta polis mendapatkan penjelasan daripada
penganjur berhubung perkara itu.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari dilaporkan
berkata penganjur, Kumpulan Hallmark Events menggunakan alasan keselamatan bagi
mendapatkan tajaan RM3.5 juta daripada kerajaan. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY