KUALA LUMPUR, 14 JULAI – PERALIHAN…. Proses peralihan jawatan Perdana Menteri akan hanya berlaku apabila semua empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) bersetuju melalui ketetapan dibuat oleh Majlis Presiden PH.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abd Samad, berkata perjanjian peralihan kuasa itu bukanlah suatu isu besar kerana apabila tiba masanya ia menjadi keperluan, maka janji itu akan direalisasikan.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, sebelum ini memang ada disebut berhubung tempoh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tetapi akhirnya ia bergantung kepada keputusan dibuat Majlis Presiden PH.

“Siapa yang jadi Perdana Menteri mesti mendapat majoriti sokongan daripada ahli dewan (Dewan Rakyat)… apabila tiba masa ahli dewan rasa ia perlu dan semua parti bersetuju, maka ia akan berlaku.

“Dari segi tempoh (pentadbiran Tun Dr Mahathir) memang ada disebut ada yang dikata dua tahun, ada yang tiga tahun tetapi akhirnya semua bergantung kepada apa yang diputuskan oleh Majlis Presiden PH, ” katanya.

Khalid berkata demikian bagi mengulas kenyataan dibuat Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah membuat kenyataan itu melalui satu wawancara dengan Nikkei Asian Review, baru-baru ini.

Sebelum ini, persetujuan dalam kalangan pimpinan semua parti dalam PH yang dicapai sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ia diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, isu peralihan kuasa tidak perlu digembar-gemburkan kerana masanya akan tiba juga berikutan apa yang lebih penting kini adalah menumpukan soal pentadbiran dan perkhidmatan kepada rakyat.