PUTRAJAYA, 16 MEI – SELESAIKAN….Kementerian Wilayah Persekutuan yakin semua masalah yang dihadapi peniaga di Bazar Ramadan Jalan Raja di ibu negara, akan diselesaikan tidak lama lagi.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata pihaknya juga sudah memberi beberapa cadangan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dalam menyelesaikan masalah dihadapi peniaga terbabit.

Katanya, terdapat dua masalah yang dikenal pasti iaitu isu takungan air ketika hujan lebat serta sistem pengudaraan.

“Yang pertama isu pengudaraan, bila hujan lebat peniaga mula menurunkan kain khemah dan ia secara tidak langsung menjadikan khemah berkenaan panas akibat haba.

“Jadi saya mahu Datuk Bandar menjadikan Festival Ramadan di Putrajaya sebagai contoh kerana khemah yang terdapat di festival berkenaan dilengkapi sistem pendingin hawa.

“Jadi mungkin ia boleh diguna pakai di Jalan Raja supaya memberi pengudaraan yang lebih baik serta keselesaan kepada pengunjung,” katanya.

Khalid berkata, mengenai isu takungan air ketika hujan lebat, pihak DBKL sudah membersihkan saluran yang menyebabkan limpahan air di kawasan itu.

“Hujan yang berlaku semalam sangat lebat, walaupun dalam waktu singkat namun disebabkan terdapat beberapa saluran yang terhalang, ia menjadi punca kepada limpahan air di kawasan terbabit.

“DBKL sudah membersihkan saluran berkenaan petang tadi dan diharapkan kejadian seperti itu tidak berulang pada masa akan datang,” katanya. – WD MY