PUTRAJAYA, 9 MEI – SERAH…. Kabinet hari ini bersetuju menyerahkan Taman Tugu seluas 26.7 hektar kepada sebuah badan amanah yang dikenali sebagai Amanah Warisan Negara (AWAN), bertujuan mengekalkan kedudukan kawasan itu sebagai hutan tropika.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, berkata keputusan menyerahkan tanah Taman Tugu yang dianggarkan bernilai RM1.87 bilion itu selari dengan komitmen kerajaan dalam soal menjaga alam sekitar dan kawasan hutan hijau yang ada di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Kami mahu mengekalkan kawasan ini sebagai satu kawasan hutan tropika dan badan amanah terbabit adalah hasil kerjasama Khazanah Nasional Bhd (Khazanah Nasional), Kementerian Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Taman Tugu akan diamanahkan kepada AWAN untuk menjaga dan memulihara kawasan itu.

“Apabila diserahkan, tanah itu diletakkan syarat nyata iaitu tidak boleh dibangunkan, diniagakan atau dicagarkan kerana ia sudah diwartakan sebagai hutan tropika,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya bersetuju membatalkan notis pemberitahuan untuk mengosongkan tapak kediaman penduduk di Ladang Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, media melaporkan 41 keluarga enggan berpindah selepas notis pengosongan dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, semalam.

Sebahagian besar penduduk lain bersetuju dengan tawaran kerajaan untuk memberi pampasan wang tunai dan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Puchong. – WD MY