KUALA LUMPUR, 30 SEPT – PPR…. Tunggakan bayaran sewa membabitkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini mencecah RM58 juta.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, berkata tunggakan yang dikenal pasti sejak puluhan tahun dahulu tidak dapat diselesaikan atas alasan penyewa tidak mempunyai pekerjaan.

Katanya, tunggakan dikesan berlaku sejak bertahun lamanya dan bukan dalam tempoh setahun Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Apabila PH ambil alih, kita tak nak datang dengan pendekatan mengejut seperti mengambil tindakan tetapi cuba selesaikan masalah ini terlebih dahulu.

“Beri tempoh dalam tiga atau enam bulan untuk penduduk bayar sewa, kita tengok,” katanya.

Khalid berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan program Karnival Kerjaya bermula di PPR Desa Rejang dalam usaha membantu penduduk PPA dan PPR menyelesaikan kemelut bayaran tunggakan sewa rumah.

Katanya, karnival dianjurkan dengan kerjasama Jobs Malaysia yang turun padang bertemu penduduk dan membantu mencari peluang pekerjaan sesuai.

“Kita nak selesaikan masalah penduduk PPA dan PPR. Ini adalah pendekatan sepadu, bukan sekadar nak ambil tindakan undang-undang, nak bertindak keras,” katanya.- WD MY