KUALA LUMPUR, 27 Nov – DISALAH ERTI….. Ucapan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang disifatkan Universiti teknologi Mara (UiTM) sebagai tempat mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran telah disalah tafsir.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan, Tengku Adnan berkata, apa yang cuba disampaikan menerusi ucapan ‘off the cut’ berkenaan mungkin tidak kemas menyebabkan ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyalah tafsir apa yang cuba ditekankan.

Berikut adalah inipati ucapan sebenar yang mahu disampaikan;

“Saya memberi huraian sejarah mengenai bangsa kita iaitu orang Melayu. Sebelum 31 Mei 1969 memang Melayu amat mundur. Pelajar Melayu luar bandar khususnya begitu mundur dalam pelajaran. Ini kerana sekolah luar bandar banyak kekurangan. akibatnya ramai tidak dapat masuk ke universiti.

“Malah pada awal 70-an, syarat masuk universiti diturunkan sekadar 2 prinsipal dan 1 sub untuk layak masuk universiti. Maka kuota ini dilaksanakan menggunakan hak keistimewaan orang Melayu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Namun ramai pelajar Melayu peringkat SPM dan STPM tercicir, Maktab Mara ditukar menjadi Institut Teknologi Mara (ITM) dan pelajar-pelajar Melayu SPM yang dapat gred 3 pun diterima masuk ke ITM. Bahasa Inggeris langsung sifar. Tapi apabila diberi peluang dan kemudahan-kemudahan yang mencukupi, cuba lihat berapa ramai yang mendapat PHD dan di peringkat profesional seperti ACA, ICMA, kejuruteraan dan berpuluh lagi.

“Malah ada pelajar Melayu dari UITM yang Top of World seperti dalam bidang ACA. Sekarang UiTM sudah menjadi Mutiara Bangsa dan Universiti Maya dengan 13 cawangan seluruh negara dan mempunyai pelajar sekitar 170,000 orang. Semua tahu setakat ini 600,000 alumni UiTM.

“Tahniah kepada Tan Sri Arsyad Ayub, beliau dikenali sebagai Bapa UiTM. Tapi apakah UTM dan kehebatan pelajar Melayu ini menjadi kenyataan tanpa Umno dan BN? hakikatnya Umno dan BN lah yang merealisasikan kebangkitan bangsa Melayu yang dulu mundur dan ‘slow’ akibat kemiskinan yang tegar. Begitu juga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang menempa kejayaan luar biasa. Lupakah kepada Umno?,”katanya dalam kenyataan itu.

Tengku Adnan menambah, sebarang kesilapan teknikal dalam ucapan berkenaan adalah tidak disengajakan.

“Itu adalah kelemahan yang ada pada semua manusia. Sama-sama kita tegakkan kehebatan bangsa Melayu kita seterusnya,” katanya.

Ucapan Tengku Adnan pada Majlis Anugerah Nadi Negara 2017 di ibu negara pada Ahad itu menjadi tular dan mendapat kecaman daripada pelbagai pihak khususnya warga UiTM. – WD MY