Berikut adalah kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung jawapannya kepada soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mengenai bantuan Interpol mengesan kedudukan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low, di Dewan Rakyat hari ini.

“Pejabat Timbalan Perdana Menteri menafikan secara tegas laporan yang dibuat oleh beberapa media sosial yang telah memanipulasikan jawapan YAB Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa PDRM sedang meminta bantuan Interpol bagi menjejak Ahli Perniagaan Jho Low.

Jawapan YAB Timbalan Perdana Menteri ketika di sidang Parlimen pagi ini ke atas soalan tambahan YAB Ahli Parlimen Gombak jelas menyatakan bahawa tiada kes untuk disabitkan.

Hubungan yang baik telah terjalin antara PDRM dan Interpol dalam menyiasat kes ini.

Sehingga hari ini, PDRM telah menutup fail kes berkenaan dan tiada lagi permintaan oleh Interpol terhadap kes tersebut.

Bagaimanapun, media berkenaan seolah menimbulkan isu pencarian semula terhadap Jho Low. Itu sama sekali tidak benar.

Putrajaya

23 Oktober 2017