Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam edisi terbaru ‘Journal of Public Security and Safety’.
 Dalam tulisan ini, Ahmad Zahid membicarakan tentang dasar menentang keganasan, memerangi pembiayaan keganasan serta kerjasama serantau dan antarabangsa dalam memerangi ancaman keganasan).
KUALA LUMPUR, 19 Feb – Laksanakan….. Rangka kerja perundangan dan peraturan
yang dilaksanakan Malaysia dalam memerangi pembiayaan keganasan, mendapat
keyakinan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau, inisiatif peraturan yang berkaitan itu telah menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan dan pembangunan ekonomi Malaysia.
Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan
2001 mewajibkan institusi kewangan mengemukakan dengan segera transaksi yang
mencurigakan kepada unit risikan kewangan Bank Negara Malaysia, katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pengganas memerlukan
banyak sumber untuk mengendalikan kemudahan latihan, mendapatkan senjata dan
melakukan perjalanan bagi menyemarakkan aktiviti keji mereka.

“Tanpa dana, mereka tidak akan mampu melaksanakan sebahagian besar aktiviti mereka.

“Jumlah serangan pengganas terus meningkat dan hubungan antara serangan demikian dengan pembiayaan keganasan pula adalah amat ketara,” katanya.

Bagi mengukuhkan lagi pendapat beliau tentang isu itu, Ahmad Zahid berkata
untuk melemahkan dan menghapuskan keganasan, pihak berkuasa perlu menjejaki,
mengurangkan dan menyekat aliran kewangan pertubuhan jenayah pengganas.
Beliau berkata hasil daripada komitmen yang ditunjukkan dan usaha berterusan yang dilakukannya untuk memperkemaskan lagi inisiatif pencegahan wang haram serta memerangi pembiayaan keganasan, tahun lepas, Malaysia diterima menganggotai Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah badan penggubal dasar yang dibentuk pada 1989 oleh Sidang Kemuncak G-7 di Paris.
Badan itu bertujuan meningkatkan pelaksanaan langkah perundangan dan peraturan secara berkesan dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan ancaman berkaitan terhadap keutuhan sistem kewangan antarabangsa.
“Masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara anggota FATF yang komited secara serius terhadap usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan,” kata Ahmad Zahid.

Menurut beliau, pengiktirafan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan strategik Malaysia bagi memperoleh capaian lebih meluas terhadap pasaran kewangan global, khususnya pasaran modal.

Ini seterusnya akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan dan perbankan yang mantap di peringkat serantau khususnya dan di peringkat dunia
amnya, kata beliau.
Menyentuh ancaman kumpulan pengganas Islamic State di negara ini, Ahmad
Zahid berkata Malaysia telah menggubal dua undang-undang pencegahan – Akta
Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Langkah-langkah Khas Menentang
Keganasan di Luar Negara (SMATA) 2015.
Di samping itu, jelas beliau, Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman
berat iaitu penjara hingga 30 tahun atau sepanjang hayat atau hukuman mati bagi
kesalahan berkaitan keganasan.
“Malaysia amat tegas dalam menganjurkan peperangan global terhadap
keganasan,” katanya.

Mengenai langkah di peringkat serantau, beliau berkata Malaysia dan negara
anggota ASEAN lain menjalin kerjasama erat dalam menangani perkara berkaitan
keselamatan, termasuk isu keganasan.

Kata beliau, Malaysia juga menjadi pihak kepada kebanyakan konvensyen dan protokol antarabangsa mengenai usaha memerangi keganasan. – WD MY