KENYATAAN MEDIA AHLI DEWAN NEGARA SENATOR DATO’ FAHARIYAH MD NORDIN

Saya merasakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah boleh berhenti bermain kong kali kong memperbodohkan rakyat dan putar alam berkaitan kenyataannya tentang isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Setelah diserang bertalu-talu apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Pakatan Harapan akan meneruskan GST sekiranya berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, kini dia cuba ‘menjernihkan’ keadaan mengelirukan rakyat kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba “memesongkan perhatian daripada salah urus mereka terhadap sumber awam melalui berita palsu”.

Mungkin Nurul Izzah terlupa apa yang diperkatakan semasa berucap di ceramah anjuran Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (PPBM) di Pulau Pinang selain pelbagai kenyataan sebelum ini.

Sesungguhnya, rakyat sudah muak dan jelik dengan sandiwara politik pembangkang yang sering mengeluarkan kenyataan tidak serupa bikin dan kemudian menyalahkan orang lain tanpa segan silu.
Malah, pembangkang sebenarnya malu untuk mengakui hakikat sebenar bahawa pelaksaan GST adalah maknisme terbaik demi ekonomi negara.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat untuk berfikiran matang dan tidak mudah mempercayai apa yang diperkatakan oleh pihak pembangkang kerana telah banyak terbukti kenyataan mereka hanya satu manipulasi mengelirukan rakyat bagi menyemai sentimen kebencian kepada kerajaan sedia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Saya juga mencadangkan agar Nurul Izzah memohon maaf kepada penyokong mereka yang telah bermati-matian berdemonstrasi di jalanan membantah GST kerana rupanya jauh di sanubari pembangkang, mereka juga mahu melaksanakan GST.

Sekian, terima kasih.