SEJAK lapan tahun lalu, pertumbuhan ekonomi Malaysia di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipenuhi langkah tegas dan berani. Kami melaksanakan pelbagai tindakan bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati masa depan yang terjamin dan inklusif, walaupun ada pihak bersungguh-sungguh mengemukakan hujah dangkal dengan mendakwa segala perancangan akan gagal.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bulan depan, kebingitan dicetuskan kelompok pembangkang merangkumi sekumpulan bekas pemimpin UMNO dengan pelbagai ketidakpuasan hati, semakin menjadi-jadi. Pelbagai benih ‘kebenaran’ yang bercanggah disemai, bertujuan mengelirukan rakyat. Saya ingin memberi tumpuan kepada fakta yang kerap diketepikan.

Usaha Kerajaan Barisan Nasional (BN) memacu ekonomi adalah kisah yang amat mengujakan. Hakikatnya, Bank Dunia sekali lagi meningkatkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2018 daripada 5.2 peratus kepada 5.4 peratus susulan perbelanjaan sektor swasta dan kegunaan persendirian yang kukuh. Ini adalah semakan kali keempat oleh Bank Dunia sejak April 2017. Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yakin ekonomi Malaysia akan berkembang antara lima hingga 5.5 peratus pada 2018, dengan penegasan negara ini berada dalam keadaan paling pesat sejak beberapa tahun kebelakangan.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh didorong peningkatan permintaan domestik, di samping pengukuhan eksport susulan strategi teratur dirancang Najib sebaik mengambil alih sebagai Perdana Menteri pada 2009.

Keadaan ekonomi ketika itu sememangnya genting berikutan krisis kewangan global pada 2008. Eksport menyusut ke paras terendah sejak 2001, manakala defisit bajet meningkat susulan subsidi minyak dan projek infrastruktur negara. Najib melaksanakan strategi pengimbangan semula yang menggalakkan perbelanjaan domestik bagi menyokong program monetari dan rangsangan fiskal kerajaan untuk mendorong pemulihan ekonomi.

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pertumbuhan ekonomi di bawah pentadbiran Najib berada di paras 7.2 peratus pada 2010. Kami berjaya bangkit daripada kesuraman 2009, berkembang dengan kadar 10.1 peratus pada suku pertama 2010 – kadar terpantas dalam tempoh sedekad.

Suntik keyakinan pelabur

Pendekatan diambil kerajaan ketika itu menyuntik keyakinan dalam kalangan pelabur, jauh berbeza berbanding langkah kawalan modal drakonian dan dasar pemencilan dilaksanakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika krisis kewangan Asia pada 1998. Langkah berkenaan menyebabkan pelabur hilang keyakinan dan mengasingkan diri buat tempoh panjang.

Meleraikan dasar tertutup dan kegagalan inisiatif penswastaan Dr Mahathir memerlukan keberanian serta kesungguhan yang bukan calang-calang. Najib perlu tegas dalam melaksanakan dasar makro ekonomi dengan menghapuskan subsidi kerajaan yang merugikan dan diganti subsidi bersasar dalam bentuk kewangan, minyak, perubatan dan barangan makanan keperluan bagi golongan yang layak menerima.

Malaysia turut melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang amat diperlukan bagi pengurusan fiskal dan pembangunan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Ekonomi Baharu (MEB), dasar diperkenalkan bagi meningkatkan produktiviti dan menangani cabaran kompetitif serta kekurangan dari segi kemahiran yang kritikal. Dasar sedemikian dirangka ke arah memacu pulangan kumpulan berpendapatan rendah (B40), sejajar usaha mentransformasi Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

Agensi penarafan antarabangsa, termasuk Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch Ratings, mengekalkan unjuran stabil Malaysia dengan penarafan kredit ‘A’ dan secara keseluruhannya positif terhadap momentum pertumbuhan.

Malaysia serius membangunkan projek pertumbuhan strategik yang dikenal pasti. Ini termasuk projek pembangunan infrastruktur berasaskan pengguna Lebuhraya Pan-Borneo, Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), rangkaian transit aliran massa baharu di Kuala Lumpur dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Kami menyedari keperluan untuk mengurangkan defisit bajet, namun ia perlu ditangani dengan berhati-hati bagi mengimbangi perbelanjaan pengurusan dengan pelaburan bagi memastikan pertumbuhan mapan jangka panjang. Hutang negara ketika ini berjumlah RM684 biliion (AS$174 bilion), iaitu 51 peratus daripada KDNK. Sejumlah 97 peratus daripada hutang adalah dalam denominasi ringgit, manakala hanya 27 peratus berada dalam pegangan entiti mata wang asing.

Kerajaan amat yakin kemampuannya menguruskan hutang negara berikutan nisbah khidmat hutang mencatat pengurangan ketara sejak 1980-an, dan berada jauh di bawah garisan 15 peratus.

Trajektori ekonomi serba positif

Kami telah membina trajektori ekonomi yang serba positif dan mapan, sekali gus menjadikan Malaysia satu daripada pasaran kukuh di Asia dan destinasi pelaburan menarik. Baru-baru ini, syarikat Saudi Aramco menandatangani perjanjian AS$7 bilion dengan PETRONAS bagi melabur dalam projek penapisan minyak di Malaysia – pelaburan terbesarnya di luar Arab Saudi.

Mubadala Petroleum Abu Dhabi turut memeterai pelaburan bernilai AS$1 bilion dalam projek gas pertamanya di Malaysia, baru-baru ini, bersama PETRONAS Carigali dan Shell Sarawak. Sebagai tambahan, inisiatif Belt and Road China akan menyediakan peluang untuk menembusi pasaran baharu, mempelbagaikan produk tempatan dan perkhidmatan serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI).

Bagaimana kami menguruskan pertumbuhan ekonomi supaya kekal berkembang menjadi keutamaan selepas PRU berakhir. Pada hemat saya, kestabilan politik dan kesinambungan dasar adalah faktor penentu dalam mengekalkan kerancakan pertumbuhan ekonomi. Sejarah menunjukkan Malaysia memiliki daya tahan tinggi terhadap apa juga cabaran dihadapi. Kini, kami perlu memberi perhatian terhadap pengurusan masa depan dengan terus bersikap berani menghadapi mereka yang berterusan mengkritik kami.