Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP)

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP) Ramesh Rao mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull supaya mengambil cuti sementara sehingga siasatan ke atas isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selesai.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata Mohd Shukri sebelum ini menjalankan tugas mengetuai SPRM secara tidak sah ketika belum mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V termasuk ketika membuat tangkapan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Beliau baru sahaja angkat sumpah di hadapan baginda Tuanku lima hari lepas, walaupun diumumkan pelantikannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir, beliau masih tidak boleh menjalankan tugas kerana masih belum angkat sumpah.

“SPRM adalah sebuah agensi yang diketuai oleh seorang Ketua Pesuruhjaya yang pelantikannya perlu diberi perkenan oleh Agong bukannya Perdana Menteri,” kata Ramesh dalam kenyataan.

Pengumuman Dr Mahathir berkenaan perlantikan beliau dibuat pada 17 Mei, Agong hanya memberikan perkenaan di atas pelantikan itu pada 21 Mei lepas untuk tempoh dua tahun, menurut satu kenyataan oleh SPRM sebelum ini.

Ramesh berkata, pelantikan Mohd Shukri perlu mengangkat sumpah di hadapan Agong mengikut Seksyen 5(7) Akta SPRM 2009 untuk setiap Ketua Pesuruhjaya yang dilantik.

“Ia jelas melanggar undang-undang dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

“Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki perlu mengambil alih peranan Mohd Shukri sehingga siasatan selesai,” kata Ramesh.

Beliau mula berperanan menyiasat isu 1MDB melalui Pasukan Petugas Khas yang dianggotai bersama dengan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador.

Ramesh berkata ketika Datuk Seri Najib ditahan pada 3 Julai pun Mohd Shukri masih belum mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

“Jika Mohd Shukri ada sikap integriti yang tinggi, beliau perlu segera mengambil cuti atau menarik diri dari siasatan berkaitan 1MDB sehingga siasatan selesai.

“Jika beliau menjalankan tugas selepas dilantik oleh Perdana Menteri, ia akan mewujudkan spekulasi dalam kalangan rakyat yang akan mendakwa SPRM dikawal oleh Perdana Menteri walaupun janji dalam manifesto Pakatan Harapan ialah untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen,” kata Ramesh.

Berkaitan penahanan Najib, satu kenyataan media dikeluarkan menyebut Pasukan Petugas Khas Siasatan 1MDB telah mengesahkan tangkapan ke atas Najib padahal, badan itu tidak ada kuasa melakukan tangkapan berkenaan.

“Ini sudah jelas satu salah guna kuasa dan perbuatan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara,” katanya.

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Pengarah Strategik PAP
11 Julai 2018