KENYATAAN MEDIA OLEH PERTUBUHAN MINDA DAN SOSIAL PRIHATIN (PMSP)

Ada maklumat bahawa ada pegawai Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) bakal disiasat dan diambil tindakan termasuk dipecat kerana membuat dakwaan palsu dalam saman sivil terbaru ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao dalam satu kenyataan media hari ini berkata maklumat yang diperolehi sumber White House, AS menyatakan semua kakitangan DOJ yang bersekongkol akan disiasat berkenaan saman berkenaan.

“Kita dapat maklumat bahawa mereka yang bersubahat dengan pihak tertentu untuk membuat dakwaan palsu ini akan disiasat, diambil tindakan dan dipecat dari jawatan.

“Pegawai dalam DOJ adalah pro-parti Demokrat manakala Presiden AS sekarang ini Donald Trump adalah dari parti Republikan.

“Tindakan yang dilakukan oleh DOJ tidak membawa faedah malahan memberikan imej buruk kepada pentadbiran Trump serta menjejaskan hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Washington,” kata Ramesh.

Menurut beliau, perkara berkenaan akan terbongkar tidak lama lagi berkenaan siapa pegawai dalam DOJ di AS yang akan berdepan siasatan kerana terpengaruh dengan pengaruh luar sehingga memfailkan saman sivil dengan dakwaan palsu melibatkan Malaysia.

Ramesh berkata dalam saman sivil itu, DOJ tidak mahu menamakan siapa sebenarnya Malaysian Official 1 (MO1) kerana ia bukan satu dakwaan yang disertakan dengan bukti yang sahih.

Jika siapa MO1 dinamakan di dalam saman sivil itu, ia bermakna dakwaan itu adalah satu dakwaan rasmi dan Kerajaan Malaysia berhak meminta penjelasan dari Washington berkenaan saman itu.

“Sehingga kini, apabila pihak Peguam Negara meminta DOJ memohon permohonan siasatan rasmi, pihak AS tidak memberikan maklum balas menunjukkan ia satu dakwaan yang tidak mempunyai asas dan bukti,” kata beliau.

Ramesh berkata tindakan pembangkang menggunakan saman sivil itu untuk terus menghentam kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah satu tindakan tidak bertamadun kerana menggunakan anasir asing untuk melemparkan tuduhan jahat kepada BN.

‘Pembangkang ini patutnya meminta penjelasan dari DOJ kerana mereka campur tangan dalam urusan hal ehwal dalaman negara dengan saman sivil itu, bukannya ambil kesempatan dan hentam kerajaan dan PM seperti ini,” kata Ramesh.

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP)