KENYATAAN MEDIA

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAR)

peminjamPerbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional mesti terus mendesak dan menuntut janji dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu penangguhan bayaran balik selagi peminjam belum menerima gaji RM4,000 sebulan.

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP) Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini berkata ramai dari peminjam dana pengajian PTPTN telah mengundi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 untuk membolehkan mereka tidak perlu membayar pinjaman berkenaan.

Beliau berkata, tindakan kerajaan PH tidak menunaikan banyak janji dalam manifesto PRU14 sebenarnya berniat mengelak dari menjaga amanah dan mandat yang diberikan rakyat selepas menang PRU tetapi mahu memerintah negara sesuka-hati mereka.

“Dalam bajet pakatan rakyat pada 2013 dulu, gabungan yang sama menawarkan pemansuhan PTPTN dan melupuskan hutang semua peminjam tidak ditunaikan kemudian mereka tukar janji baru untuk menangguhkan bayaran balik daripada peminjam.

“Bagaimanapun, selepas buat cerita meragukan berkaitan hutang negara serta menyalahkan kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN), Pakatan cuba mengelak dari menunaikan janji berkenaan sebaliknya mereka cari alasan untuk tidak menunaikan janji itu,” kata Ramesh.

Oleh itu, beliau mahu para peminjam yang mahu janji itu ditunaikan bangkit dan terus menuntut daripada kerajaan untuk melaksanakan manifesto berkenaan seperti yang dijanjikan oleh para pemimpin mereka ketika sebelum PRU14 dulu.

Ramesh berkata kerajaan PH hanya mampu menarik balik nama dari senarai hitam Jabatan Imigresen tetapi terus menuntut bayaran balik serta tetap menyenaraihitamkan para peminjam dalam senarai CCRIS.

“Jangan berhenti mendesak kerajaan pakatan untuk laksanakan janji berkenaan. Jangan ambil mudah kemahuan rakyat dengan membuat janji pilihan raya seperti perkara yang boleh diubah-ubah dan ditukar-tukar,” katanya.

Beliau berkata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebelum ini adalah Menteri Kabinet di bawah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mahu menyatakan bahawa janji menangguhkan bayaran balik PTPTN akan dilaksanakan tetapi kini beliau berubah pendirian.

“Dalam laman sosial Facebook, YB Maszlee menyatakan bahawa janji itu tidak dapat ditunaikan kerana hutang negara dalam keadaan teruk padahal cerita teruknya hutang negara adalah rekaan dari kerajaan pakatan melalui Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” kata Ramesh.

Ramesh mahu para peminjam jangan menyerah kalah dan berputus asa sebaliknya terus mendesak kerajaan PH laksanakan apa yang mereka janjikan bukan mengkhianati mandat yang diberikan oleh rakyat kepada mereka.

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Pengarah Strategik PAP
24 Julai 2018