“Dr Mahathir dan Kit Siang Dayus dan Bacul, Enggan Tanya Soal RM2.6 Bilion”

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Penasihat DAP Lim Kit Siang dianggap dayus oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO), kerana gagal mengemukakan pertanyaan berkaitan wang derma RM2.6 bilion dari Arab Saudi kepada Raja Arab.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao berkata sebelum ini Dr Mahathir menuduh maklumat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerima wang derma dari Arab Saudi adalah bohong dan kononnnya meminta penjelasan dari kerajaan Arab Saudi.

“Raja Salman (Abdul Aziz Al Saud) dari Arab Saudi ada selama empat hari di negara ini sejak Ahad lepas, kenapa Dr Mahathir dan Kit Siang tidak mahu pergi menghantar memorandum bertanyakan soal itu kepada baginda Tuanku.

“Mengapa berdiam diri sebegini rupa, dan ini menunjukkan kedua-dua mereka boleh digelar sebagai dayus,” kata Ramesh dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, dua orang pemimpin berkenaan sebelum ini membuat tuduhan berkenaan dengan berani untuk menarik sokongan dan menyemai kebencian rakyat kepada kerajaan ketika Raja Salman tidak berada di Malaysia.

Mereka tidak menyangka Raja Salman akan hadir ke Malaysia membuat lawatan rasmi dengan beratus-ratus delegasi dan membuat beberapa komitmen besar menandakan betapa eratnya hubungan kedua-dua negara, kata Ramesh.

“Mereka jadi terkejut dan takut apabila baginda berada di sini dan amat akrab dengan Najib.

“Mereka tidak menyebut pun nama Raja Salman sebaliknya Dr Mahathir secara sinis mengatakan sebaliknya memperlekehkan lawatan itu serta menuduh ada tetamu negara yang sanggup menipu bersama-sama dengan Najib,” katanya.

Tambah Ramesh, kini orang ramai sudah tidak mempercayai Kit Siang dan Dr Mahathir selepas kegagalan mereka kononnya mahukan penjelasan menyatakan perkara itu kepada 600 delegasi Kerajaan Arab Saudi ketika di Malaysia.

“Sudahlah menipu dan membuat kekacauan dalam negara ini, umat Islam di Malaysia kini semakin yakin dengan kerajaan apabila Najib menjalinkan hubungan kukuh dengan Arab Saudi negara di mana lokasi terdapatnya tanah suci Makkah dan Madinah,” kata Ramesh.

Kit Siang sebelum ini mempersoalkan isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan wang RM2.6 bilion yang didakwanya datang dari sumber yang tidak diketahui.

“Kerajaan padahal pada masa itu sudah umumkan bahawa wang derma itu datang dari keluarga Diraja Arab Saudi, apa kena mereka berdua ini,” kata Ramesh.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao