KUALA LUMPUR, 6 Dis – UCAPAN….. Berikut adalah teks penuh ucapan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, bertajuk ‘Lembayung Arjana Bangsa’ pada perasmian Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

1. Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam, Tuhan Yang Maha Esa. Salam dan selawat ke atas Rasulullah SAW, Ahli Keluarga, dan para sahabatnya, serta para tabiin yang telah mendahului kita.

“Sesungguhnya Allah SWT menciptakan apa yang dirancang, dan Dia lah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan denganNya” (Surah Al Qasas ayat 68).

Sidang perwakilan sekalian.

2. Sesungguhnya, saya lontarkan mafhum terjemahan ayat tersebut sebagai pembuka bicara, kerana kita semua dalam Dewan Merdeka ini, adalah perwakilan yang dipilih oleh pemimpin akar umbi. Kitalah umara’ penyambung perjuangan menyebarkan “Risalah Nubuwwah”.

3. Kita seharusnya menjadi pemimpin “Qudwah Hasanah”, role model yang boleh memberi teladan terbaik kepada rakyat.

4. Malam ini, saya berdiri di hadapan bangsa untuk mencanai minda dalam kalangan sidang perwakilan dari Bahagian Padang Besar, Perlis hingga ke Bahagian Kudat di Sabah. Kita berhimpun di rumah agam ini, dari 191 bahagian seluruh negara, membawa niat dan hajat, mendengar debat dan amanat, demi kelangsungan umat sejagat. Persidangan ini adalah himpunan suara bangsa, menyatukan minda dan idea, merentasi kepelbagaian etnik dan budaya.

5. Inilah satu keindahan dan keunikan. Bila tabuh dipalu, tiupan nafiri dimainkan, yang capik datang bertongkat, yang buta teraba-raba, yang tuli leka bertanya, yang dara duduk bersimpuh, yang teruna duduk bersila. Semuanya atas satu agenda untuk menyambung wasilah perjuangan bangsa. Inilah Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017. Inilah perhimpunan kita!

Sidang perwakilan sekalian.

6. Saya tidak mahu lagi berbicara tentang tujuh cabaran politik yang diutarakan dalam persidangan tahun lalu. Malam ini, saya akan bentangkan tujuh manifesto bangsa yang akan menjadi satu gagasan besar. Ia juga bekalan pemikiran dan asas tindakan kita dalam menghadapi PRU ke-14 yang gongnya akan dipalu oleh Presiden kita.

7. Inilah Inilah manifesto sebelum manifesto. Inilah manifestasi akujanji kita kepada rakyat. Saya percaya tujuh manifesto ini yang merangkumi tujuh lembayung arjana (kejayaan) bangsa akan menjadi pegangan kita buat selama-lamanya.

8. Kenapalah saya memilih angka tujuh ini? Sebenarnya angka tujuh sering diulang dalam Al-Quran.

– Allah SWT menciptakan tujuh petala langit dan tujuh petala bumi

– Dan disempurnakan pada hari ketujuh

– Ada tujuh lautan dan ada tujuh benua

– Penciptaan manusia juga mempunyai tujuh fasa

– Pensyariatan tujuh pusingan tawaf dan

– Tujuh kali ulang-alik bagi sa’ie dalam ibadah haji dan umrah

– Melontar jamrah juga dengan tujuh biji batu.

9. Dengan ketentuan Allah SWT, tujuh orang presiden telah memimpin UMNO sejak tujuh dekad yang lalu.

10. Pastinya, Datuk Seri Najib sebagai Presiden UMNO ketujuh, cabarannya bukan kecil tetapi besar. Cabarannya amat berbeza dengan presiden terdahulu tambahan pula ketika ini adanya ancaman media sosial. Terima kasih aktivis media sosial prokerajaan Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu kita. Biro IT UMNO juga tidak kurang hebatnya sentiasa memberi penjelasan isu semasa, dan menangkis tohmahan pembangkang dan membalas serangan. Begitu juga Biro Penerangan.

11. Pada zaman Datuk Seri Najib juga tercetus suatu revolusi ekonomi dan industri yang dipacu oleh ledakan teknologi digital. Kita kini memasuki Revolusi Industri Keempat, mengubah cara manusia berkomunikasi, berinteraksi dan berdagang. Ia membabitkan kemunculan teknologi baharu seperti robotik, artificial intelligence (kepintaran buatan), teknologi nano, teknologi quantum, bioteknologi, percetakan 3D dan ‘autonomous vehicles’ atau kenderaan serba canggih.

12. Selain itu, semua peranti elektronik sama ada di rumah atau dalam industri telah dilengkapi dengan perisian dan alat pengesan perubahan (sensor) yang membolehkan peranti berkongsi dan bertukar maklumat di antara satu sama lain. Ini terkandung dalam Internet of Things (IoT).

13. Ia pasti memberi kesan kepada geopolitik, ekonomi, keselamatan, sosial dan pendidikan negara.

14. Hanya sebuah parti politik yang dinamik dan progresif mampu menghadapi gelombang baharu ini. Dasar tidak pernah berubah, yang berubah hanyalah pendekatan. Alhamdulillah, Datuk Seri Presiden yang berlatar belakang pendidikan ekonomi mampu membawa kita mengharungi Revolusi Industri Keempat ini. Kita semua ahli UMNO harus memberikan dokongan penuh kepada satu-satunya panglima kita ini.

Sidang perwakilan sekalian.

15. Presiden melontarkan gerbang PRU 14 kian kita hampiri. Dari hitungan ‘eddah’ politik, tempoh tamat penggal ini akan berakhir pada Jun 2018. Tidak boleh lari dari jeda masa itu, kita akan turun ke gelanggang sederap serentak. Datanglah Januari, datanglah Mac, atau bulan apa pun, kita akan hadapinya. Yang penting, kita harus memiliki “winning mentality” atau mentaliti untuk menang. Ia bukan sekadar konsep, bukan sekadar falsafah tetapi memerlukan semangat, keyakinan dan tindakan.

16. Kita tidak akan berpaling atau berundur walau setapak pun! Obor perjuangan yang kita bawa bersama persis kisah Tariq Ibni Ziyad yang tidak lari dari peperangan dan akan kita terjemahkan. Namun, berpaling tidak sama sekali! Kita harus terus mara!

17. UMNO tidak boleh KALAH! BN tidak boleh TEWAS! Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan! InsyaAllah Putrajaya akan terus menjadi milik kita. Milik UMNO dan Barisan Nasional.

i. LEMBAYUNG KESEJAGATAN POLITIK

Sidang perwakilan sekalian.

18. UMNO adalah sebuah parti politik yang masih bertahan dan relevan sehingga hari ini. Berbanding parti politik lain UMNO adalah sebuah parti politik parti keramat paling unggul.

19. Di peringkat serantau dan global UMNO adalah parti politik yang masih kekal memerintah tidak pernah tewas dalam pilihan raya sejak tahun 1955. Kita bukan riak jauh sekali mahu bersikap takabbur. Ini adalah fakta yang sama sekali tidak boleh disangkal. Mudah-mudahan Allah akan memberikan kemenangan lagi kepada kita pada pilihan raya yang akan datang.

20. Apakah formula UMNO hingga mampu kekal unggul? Kita mengamalkan kesejagatan politik sejak dahulu lagi sehingga hari ini. Yang terbaharu, Datuk Seri Presiden dan kita semua sama-sama turun ke Pulau Pinang untuk membantu mangsa banjir. Bagi kita, jaminan keselamatan rakyat merupakan suatu keutamaan

21. Sesungguhnya kita buta warna dalam empat perkara. Saya buta warna dalam empat perkara. Pertama soal agama Islam. Kedua soal kemanusiaan. Ketiga dalam isu pendidikan manakala yang keempat ialah soal keselamatan. Ingat Ketika rakyat ditimpa banjir kita mengetepikan sebarang perbezaan.

22. Saat saya dihubungi pada jam 3.30 pagi untuk memohon bantuan untuk mangsa banjir. Di lubuk kecil hati saya, saya ketepikan perbezaan politik, saya ketepikan segalanya. Bak kata pepatah “ayam berinduk, sirih berjunjung”.

23. Sesungguhnya UMNO tidak mengamalkan agenda sempit. Kita tidak hanya memperjuangkan nasib umat Melayu semata-mata. UMNO mengamalkan politik keterangkuman UMNO adalah wadah perjuangan seluruh rakyat dari berbilang kaum. UMNO adalah tunjang kekuatan kepada Barisan Nasional. Kita sanggup berkongsi kuasa bersama rakan komponen bukan sahaja di Semenanjung, tetapi merangkumi Sabah dan Sarawak.

24. Kita mengamalkan kesatuan politik matang dan dinamik yang UMNO amalkan dalam membina bangsa. UMNO sentiasa berjiwa besar dan mewarisi formula kesejagatan politik. Natijahnya, prinsip Rukun Negara yang kita tatang selama ini merupakan kunci kedinamikan politik UMNO.

25. Politik keterlibatan adalah prinsip yang menjalinkan setiap perbezaan. Apabila kita berhadapan dengan sesuatu isu atau ancaman, ia wajar ditangani bersama. Malah sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu secara tepatnya genap setahun lalu, pada 5 Disember tahun lalu, kita mempraktikkan pendekatan tabayyun dan ta’awwun. Presiden kita bersama pimpinan PAS dan NGO Islam menyatakan kepedulian kita terhadap pembersihan etnik warga Rohingya.

26. UMNO dan BN mengamalkan politik ketertiban, mendokong dan menghormati proses demokrasi. Budaya anarkis yang dipelopori oleh sebahagian parti politik di Malaysia memaparkan kedangkalan dan sifat gelojoh luar biasa.

27. Politik ketertiban bermula dengan pemilihan pemimpin itu sendiri yang mempunyai wisdom atau kebijaksanaan. Justeru, dalam memilih calon, UMNO memilih yang terbaik. Dalam penentuan calon-calon untuk PRU ke-14 piawaian berwibawa, dinamik dan kematangan diutamakan. Ia merangkumi aspek ‘winnable’, ‘likeable’, ‘capable’, ‘trustable’ dan ‘intelligent’.

28. Seseorang pemimpin itu mesti memiliki sifat “Taqarrub Illallah”, membimbing untuk kita semua mendekati Allah agar kita sentiasa menghambakan jiwa raga kepada Allah SWT. Oleh kerana itulah Islam menganjurkan agar pemuda dan pemudinya terdidik dengan “Jiwa Hamba” terhadap Allah SWT dan menjadi seorang Rabbani! Sifat-sifat “Ubudiyyah”, iaitu ketaatan dan kepatuhan kepadaNya yang mampu menjadi kompas kehidupan ke jalan kebenaran.

29. Saya akui aura kepimpinan paling sukar ditemui ialah ‘likeable’ kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon, pasti akan ada yang cemburu padanya. Yang tyidak bernasib baik menjadi calon merasakan hanya dirinya sahaja yang layak, yang ‘likeable’. Oleh kerana itulah, kita memerlukan pemimpin bercirikan “Qudwah Hasanah” iaitu mampu memimpin dengan contoh dan teladan terbaik.

30. Jauhilah sikap buruk seperti mencari “Personal Glory”. Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai suatu pasukan yang mantap. Sepertimana analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada menjadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas! Saya tahu tidak ada di dalam dewan ini, di luar dewan.

31. Saya mengajak seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO agar akur dengan keputusan Datuk Seri Presiden dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih nanti. Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep “jiwa jama’ie” iaitu belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan.

Sidang perwakilan sekalian.

32. UMNO adalah sebuah parti politik yang lengkap dan berstruktur serta akur mengikut setiap peraturan dan perundangan. Parti kita sendiri pun pernah diharamkan dan kita akur dengan kehendak perundangan.

33. Bukan seperti parti lain yang tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang. Ada parti pembangkang yang tidak mahu mematuhi peruntukan yang digariskan oleh peraturan dan undang-undang. Tanpa ada mesyuarat cawangan, tiba-tiba ada perhimpunan. Perlembagaan parti juga tidak diikuti. Mereka panggil sayap tertentu dalam parti mereka ikut sesuka hati.

34. Ada Presiden tidak bersuara, seolah-olah tiada kuasa. Pengerusi pula bermaharajalela. Membuat keputusan seenaknya.

35. Belum lagi cerita mereka berebut kerusi pilihan raya. Lebih teruk; mereka ada 6 ketua dalam sebuah bahtera. Bayangkan apabila kapal itu mula berlayar, 6 nakhoda ini memberi arahan yang berbeza. Agak-agaknyalah ke manakah bahtera itu hendak menghala? Jawabnya ia berpusing-pusing di tempat yang sama. ‘Cruise to no where’. Alahai! Pi Mai Pi Mai Duk Tang Tu Jugak.

36. Bangsa kita kini semakin berpecah. Mulanya berpecah dua kemudian tiga sekarang berpecah enam. Di dewan inilah, bekas pemimpin kita pernah mengajak kita bersatu. Kini, menjadi ‘tok pawang politik’ yang mahu menghancurkan UMNO. Mereka ini bersekongkol dengan musuh politik kita. Mereka inilah yang mengamalkan ‘politik simpang-peranang’. Ingatlah “jangan sampai barang digenggam jatuh terlepas”.

37. Insya-Allah kita kuat; kita bukan lemah masalahnya kita berpecah.

Bukan Lemah, Tapi Berpecah

Kita bukan lemah usaha

Tapi berpecah kata

Bila sudah berpecah kata

Setiap bicara jadi sengketa

Kita bukan lemah tenaga

Tapi berpecah raga

Bila sudah berpecah raga

Setiap langkah ada curiga

Kita bukan lemah idea

Tapi berpecah rasa

Bila sudah berpecah rasa

Arah tujuan luluh binasa

Bidalan itu mengingatkan kita bahawa kita harus berpijak di bumi nyata. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

ii. LEMBAYUNG EKONOMI MAQASID SYARIAH

Sidang perwakilan sekalian.

38. Saya amat teruja dengan keprihatinan Datuk Seri Presiden semasa membentangkan Bajet 2018, di mana seluruh segmen masyarakat diambil kira. Dari sektor awam hingga sektor korporat, dari penoreh getah hinggalah nelayan, dari gen X hingga ke gen Z, dan dari desa hingga ke kota.

39. Hebatnya bajet 2018, ia menterangkumkan pelbagai usul yang pernah diutarakan oleh saudara- saudari serta para perwakilan yang bersidang di mesyuarat cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun.

40. Hasil usaha berterusan barisan kepimpinan yang ada ini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada suku ketiga tahun 2017 mencapai kadar 6.2 peratus yang tertinggi sejak tahun 2014. Ia merupakan manifestasi dasar yang terangkum dilaksanakan oleh Perdana Menteri sejak tahun 2009. Inilah kejayaan pendekatan “Najibnomics”. Pendekatan yang mengutamakan rakyat walaupun terpaksa mengorbankan perbatuan politik (political mileage). Malangnya, semua tindakan ini dipandang sepi dan pesimis oleh orang yang menanamkan kebencian kepada kerajaan dan parti kita. Nyatalah kebenaran itu amat sukar dan lambat dipersetujui. Ia lebih sukar diyakini apabila dibuai berita-berita palsu atau fake news.

41. Hakikatnya negara sedang berkembang maju. Pertumbuhan ekonomi pada era 80-an dan 90-an berbeza dengan zaman kini. Pertumbuhan ekonomi dahulu bertujuan membuka peluang pekerjaan, sebaliknya pertumbuhan ekonomi dalam era kita ini tidak semestinya menyediakan peluang pekerjaan tetapi melahirkan usahawan dan profesional dalam pelbagai bidang. Inilah masalah yang tersorok dalam kotak ekonomi negara dan mereka menafikan kejayaan yang dihamparkan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan.

42. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan tahunan ekonomi dunia bagi tahun 2017 sekitar 3.5 peratus. Pertumbuhan ekonomi negara-negara maju pula terutama anggota OECD (Organisation for Economic Cooperation and Development) diunjurkan pada sekitar 2.0 peratus sahaja. Namun, alhamdulillah Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib berjaya melepasi unjuran IMF. Malah agensi-agensi penarafan antarabangsa mengkategorikan Malaysia sebagai ’emerging economies’ atau negara pasaran membangun kerana purata pertumbuhan 4.5 peratus. Ini satu realiti.

43. Namun di sebalik pencapaian ini kerajaan sedar ketidaktentuan ekonomi dunia turut memberi kesan kepada negara. Pelbagai faktor kenaikan dalam input ekonomi sudah pasti ‘kuasa beli’ pengguna semakin berkurangan. Tambahan pula berlakunya kenaikan kos pengangkutan, makanan dan perumahan. Kerajan sedar ini merupakan beban sebenar yang dirasai oleh rakyat. Untuk itu, kerajaan memahami dan terus berusaha menyerap bebanan kenaikan kos sara hidup menerusi pelbagai pendekatan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

44. Kita lihat kejayaan projek berimpak tinggi seperti MRT atau Mass Rapid Transit sudah menampakkan kesan kepada penambahbaikan mutu pengangkutan awam. Kesalinghubungan atau “connectivity” infrastruktur rakyat kini menjadi lebih baik dan merangsang ekonomi tempatan serta memberi peningkatan ketara dalam kehidupan rakyat. Kajian menunjukkan jika sesebuah negara dapat menyediakan sistem pengangkutan yang lebih baik dan efisien, insya-Allah ia akan dapat meningkatkan KDNK sebanyak dua peratus. Inilah yang disebut sebagai “game changer” atau pembawa perubahan kepada ekonomi negara. Kita ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sidang perwakilan sekalian.

45. Ekonomi Digital merupakan kuasa baharu dalam penjanaan ekonomi dunia melalui e-dagang. Kita mesti menerajui dunia digital ini bukan sekadar sebagai penonton dan pengikut tetapi kita juga harus menjadi pemain dan pemacu utama.

46. Keprihatinan Presiden kita mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) merupakan satu manifestasi komitmen tahap tinggi kerajaan menyediakan peluang perniagaan dalam talian. Inilah konsep dunia perdagangan baharu yang menjangkaui masa depan. Rakyat di seluruh negara, usahawan Melayu dan mereka yang di dalam dewan ini perlu merebut segala ruang dan peluang dunia perniagaan baharu ini.

47. Statistik menunjukkan sektor digital ekonomi tempatan semakin berkembang di mana lebih 31,000 peniaga digital telah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Walaupun jumlahnya masih kecil tetapi sambutan belian dalam talian rakyat tempatan amat menggalakkan. Sewaktu syarikat gergasi e-dagang China, Alibaba mengadakan jualan khas pada 11 Nov lalu, ia mencatatkan jualan sejumlah US$123 juta (bersamaan RM515 juta). 70 peratus pesanan adalah melalui telefon pintar. Di peringkat dunia, Alibaba menjana US$25.3 bilion sepanjang 24 jam 11 Nov iaitu sekitar RM105.9 bilion. 90 peratus jualan berlaku pada peranti mudah alih. Inilah bentuk perniagaan yang wajar kita kuasai. Inilah juga salah satu penyelesaian kepada permasalahan tempat yang menawarkan peluang kepelbagaian cara e- dagang.

iii. LEMBAYUNG PENGANGKASAAN PENDIDIKAN

Sidang perwakilan sekalian.

48. Dalam menghadapi kebangkitan era ekonomi digital, kita perlu menyediakan sistem pendidikan negara yang selari dengannya. Perubahan dekad memaksa kita menuntut perubahan sistem pendidikan konvensional kepada ‘Pendidikan Digital’. Persekolahan Digital (Digital Schooling) merupakan suatu inisiatif baharu. Kita akan mendedahkan warga masa depan untuk memperolehi ilmu yang sesuai pada zamannya. Daripada pelajar tempatan (local student) menjadi pelajar global (global student) adalah maksud kepada sistem atau kaedah pembelajaran baharu ini.

49. Perisian interaktif digital (interactive digital gaming) akan menjadi medium pembelajaran menarik dalam pendidikan moden. Ia juga menjadi medium pembelajaran bestari. Modul baharu inilah yang sedang kita tawarkan kepada generasi Y dan Z.

50. Melalui perkembangan teknologi juga, ia akan memudahkan proses pendidikan jarak jauh. Kita juga harus memperhebatkan konsep ‘lifelong learning’ kepada mereka agar dapat menambah baikkan kelayakan serta pengalaman untuk membantu kenaikan mobiliti sosial secara vertikal.

51. Kerajaan juga memberi lebih keutamaan kepada Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET), agar matlamat yang dilontarkan tadi tercapai. Industri bakat ini perlu diarusperdanakan bukan sekadar pada bilangan jumlah graduannya tetapi juga diukur pada sumbangan idea dan ciptaan kreatif yang mampu menerokai pasaran antarabangsa.

52. Sehubungan itu, amatlah wajar Kementerian Pendidikan memperhalusi pendidikan dan persekolahan digital itu. Antara perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah percambahan minda kreatif dan lateral anak-anak. Dengan tidak menjadikan mereka ini sebagai tikus ujikaji. Kita harus meraikan kecenderungan kepelbagaian ini dan bakat semula jadi yang ada pada anak-anak kita.

Kalau hendak membeli parang,

Molek dinilai pada hulunya,

Kalau hendak memilih orang,

Molek dinilai pada ilmunya.

iv. LEMBAYUNG KESELAMATAN NEGARA

Sidang perwakilan sekalian.

53. Saya ingin menyentuh mengenai keselamatan negara. Keganasan rentas sempadan yang sudah menjadi ancaman global tidak seharusnya diambil mudah. Kita berdepan dengan golongan radikal agama, Daesh, ISIS, militan, keldai dadah, penipuan pelaburan, perjudian dalam talian, pemerdagangan manusia dan pelbagai ancaman lain. Kerajaan bertanggungjawab memastikan sembilan nilai teras melalui 20 strategi utama sebagaimana termaktub dalam Dasar Keselamatan Negara supaya dilaksanakan demi menjamin keselamatan negara ini. Ia bukan berbentuk fizikal malahan dari aspek pemikiran.

54. Kita harus menginsafi bahawa keselamatan negara dan ketenteraman awam merupakan kunci teras kepada kemantapan politik serta keharmonian seluruh masyarakat di negara ini. Jaminan keselamatan politik pula adalah pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi. Tanpa keselamatan tiadalah kestabilan, tanpa kestabilan politik punahlah kemakmuran dan kemampanan ekonomi.

55. Alhamdulillah hasil kerja kuat Kementerian Dalam Negeri, Malaysia telah dinaikkan ke Tahap 2 dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang oleh kerajaan Amerika Syarikat – US T.I.P (Trafficking In Person Report) tahun 2017. Kita bukan mahu mengkiblatkan kepada mana-mana negara. Laporan ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat melibatkan penilaian terhadap 187 negara berhubung usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang.

56. Dalam pada itu, kita juga peduli mengenai keselamatan di Sabah dan Sarawak yang tidak diabaikan. Penubuhan Esscom dan cadangan pembinaan tembok sempadan berteknologi terkini memaparkan keprihatinan kerajaan terhadap keselamatan negara. Sebanyak RM250 juta sebagai peruntukan awal untuk menambah baik aset Esscom. Kita peduli mengenai keselamatan Sabah dan Sarawak serta Semenanjung Malaysia. Kita juga menyediakan teknologi tercanggih di setiap pintu masuk melalui penaikan taraf ICQ. Kita mengambil kepedulian yang tinggi dan kita tidak mengizinkan seinci pun bumi Sabah dan bumi Malaysia diinjak-injak oleh penceroboh.

57. Maka untuk dekad baharu ini, Kementerian Dalam Negeri mengharapkan masyarakat bersama-sama bertanggungjawab menjaga keselamatan. Kita harus menjana agenda ‘memasyarakatkan polis, mempoliskan masyarakat’ supaya matlamat sifar jenayah dapat dicapai.

v. LEMBAYUNG ANTARABANGSA

Sidang perwakilan sekalian.

58. UMNO yang mewakili bangsa Melayu hari ini bukan dilahirkan sebagai pewaris jiwa hamba. Kita bangsa merdeka! Legasi kemerdekaan ini yang diamanahkan kepada kita tidak boleh dipersenda atau digadaikan. Hanya kerana ada dalam kalangan di luar sana yang kemaruk kuasa janganlah sampai menggadai maruah bangsa!

59. Kita perlu menginsafi untuk mencapai kejayaan bukan sesuatu yang mudah. Untuk mengekalkan kejayaan yang dimiliki itu jauh lebih sukar! Kita sudah memasuki tujuh dekad kejayaan. Meskipun UMNO dilambung ombak cabaran kita masih mampu mengekalkan kejayaan itu. Kita kekal sebagai parti pemerintah terulung di dunia.

60. Bahtera UMNO ini masih dalam pelayaran jauh membawa bangsanya berpaksikan kepada kesalingan “wehdatul fikr” (penyatuan pemikiran) di antara nakhoda dan anak kapalnya. Pelayaran bangsa ini menyaksikan tujuh nakhoda berjaya mengharungi ombak cabaran. Penghayatan perjuangan ikhlas dan murni ini berteraskan kepada hala tuju dan jil perjuangan yang tidak lari atau berganjak dari landasan.

61. Dalam sistem hegemoni baharu dunia yang berteraskan ‘market space’ bukan lagi ‘market place’, Malaysia perlu menjadi peneraju kepada penyelesaian permasalahan dunia seperti krisis kemanusiaan mahupun konflik antarabangsa. Malaysia telah berada di garisan hadapan. Bukan hanya sekadar menjadi jaguh kampung mahupun pengikut pinggiran sistem dunia.

62. Kita tidak mahu menjadi bangsa terpinggir. Lihatlah apa yang berlaku kepada warisan Empayar Arakan yang kini dilihat penuh kehinaan bergelar warga Rohingya. Hati dan jiwa saya amat tersentuh di saat saya membelai anak-anak pelarian Rohingya di Kem Pelarian Kutupalong di Cox’s Bazaar, Bangladesh. Mereka menjadi golongan terpinggir di bumi asing.

63. Pendirian Malaysia amat konsisten dan tegas dalam krisis kemanusiaan di negeri Rakhine, Myanmar. Suara masyarakat Rohingya diangkat ke Persidangan UNGA ke-72 di New York oleh Datuk Seri Anifah Aman. Tidak cukup dengan itu Presiden UMNO membincangkan isu pembersihan etnik ini ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

64. Malaysia juga berani mengasingkan diri (disassociate) daripada kenyataan Pengerusi ASEAN mengenai Rohingya kerana ia memberi gambaran salah mengenai situasi sebenar. Desakan demi desakan ini menyebabkan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi akur menerima penempatan semula warga Rohingya di negeri Rakhine dengan pemantauan badan antarabangsa (international monitoring team).

65. Langkah Malaysia ini amat bertepatan lantaran Universiti Oxford telah melucutkan anugerah ‘Freedom of Oxford’ dan London School of Economics juga telah menarik balik semula penghormatan Kesatuan Pelajar Kehormat Presiden (Honorary Students’ Union Presidency) kepada Aung San Suu Kyi. Dengan tidak berhajat untuk menyentuh urusan dalaman mana-mana negara. Mesej yang ingin saya sampaikan ialah semua kejayaan itu adalah kejayaan pemimpin utama kita Datuk Seri Najib Tun Razak.

66. Barang dijauhkan Allah SWT, nauzubillah andai ini terjadi kepada kita, andai UMNO dikhianati dan tewas dalam pertempuran air mata tidak lagi bererti. Tiada apa yang dapat ditangisi.

Sidang perwakilan sekalian

67. Lihatlah juga apa yang berlaku di Catalonia yang mahu berpisah dengan Sepanyol tetapi tidak direstui oleh pemimpin di Madrid dan raja mereka. Raja Sepanyol menyifatkan pemimpin-pemimpin pemisah Catalan sebagai perosak prinsip demokrasi dan memecahbelahkan rakyat Catalan.

68. Tindakan segelintir pihak di negara ini yang menghasut rakyat dengan slogan “Sabah Untuk Sabah” dan “Sarawak Untuk Sarawak” cukup bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan. Tindakan ‘bermain api’ yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan negara harus kita sama-sama tentang. Hati dan nurani rakyat Sabah dan Sarawak mahu terus berada dalam persekutuan negara Malaysia. Saya khuatir jika batu-batu api ini terus mencetuskan api. Bak kata orang tua-tua “bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang”. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campur tangan asing kelak.

69. Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa ini kesalahan yang amat serius dan pencetus-pencetus api ini boleh dihukum dengan hukuman yang berat. Tiada sesiapa yang kebal dari segi undang-undang. Kita tidak akan izinkan perkara ini berlaku.

70. Tindakan subversif ini berlaku apabila adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa. Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur.

71. Dalam pada itu, kesan percaturan politik yang menafikan kesejagatan bangsa mengakibatkan kedaulatan kita ke atas Pulau Batu Putih atau Pedra Branca terkubur. Sewajarnyalah kita memfailkan permohonan untuk menyemak semula keputusan penghakiman ICJ (International Court of Justice).

72. Saya amat berbangga dengan tindakan pimpinan Pergerakan Pemuda UMNO yang berani menyanggah kenyataan seorang pemimpin negara jiran. Inilah maruah kita! Inilah kedaulatan kita! Inilah tanah tumpah darah kita! Kita tidak akan pernah mengizinkan seinci pun tanah kita ini tergadai! Kita tidak rela berputih mata! Syabas Pergerakan Pemuda! Sebelum ajal berpantang maut.

vi. LEMBAYUNG RAJA-RAJA MELAYU

Burung nuri terbang ke lembah,

Hinggap megah di tengah kota,

Rakyat Malaysia merafak sembah,

Daulat Tuanku Payung Mahkota.

73. Buku ‘Sulalatus Salatin’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ada menyebut bangsa Melayu berasal dari pergunungan Bukit Seguntang kerana mengambil sempena nama sebuah sungai di situ bernama Sungai Melayu.

74. Terbinanya martabat dan kegemilangan bangsa Melayu adalah hasil daripada waad perjanjian di antara Demang Lebar Daun dan Sang Seperba atau Sri Tri Buana disaksikan oleh Wan Empok Wan Malini.

75. Dalam waad tersebut ia menyatakan setiap anak keturunan Melayu wajib taat dan setia kepada pemimpinnya yang ketika itu adalah Sri Tri Buana. Memang ada kebenarannya ia juga ditujukan kepada Raja-raja Melayu tetapi hakikat sebenarnya adalah kepada pemimpin-pemimpin Melayu termasuk kita yang berada di dalam dewan ini dan yang di luar sana.

76. “Setiap anak Melayu hendaklah setia kepada Rajanya dan jika ia derhaka maka hukumnya adalah bunuh. Namun begitu raja pula tidak boleh memalukan rakyatnya. Andai perjanjian tersebut diingkari maka akan diterbalikkan oleh ‘Yang Maha Esa’ bumbung rumah ke tanah dan tiangnya ke atas”.

77. Sebenarnya inilah rahsia yang tersembunyi hingga membolehkan kita muncul sebagai bangsa yang bermartabat hingga mampu membina kejayaan sebuah Empayar Melayu Islam Champa dan Kerajaan Melayu Islam Melaka yang penuh gilang-gemilang suatu ketika dahulu.

78. Tetapi apabila Si Kitol dan Bendahara Mandaliar mula berbuat onar dan berkhianat pada bangsanya akhirnya hancurlah empayar kegemilangan Melayu Melaka. Hari ini, gambaran Si Kitol dan Bendahara Mandaliar sudah terjelma. Di saat kita memacu lembayung arjana bangsa, individu inilah yang pernah memimpin kita sekarang ini pula mahu menghancurkan UMNO. Malahan Institusi Raja-raja Melayu turut dipersendakan.

79. Tahun lalu saya pernah mengingatkan supaya jangan lupa kepada Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu. Peganglah dan jadikanlah amanat ini sebagai wasilah perjuangan kita. Insya-Allah kita hormati.

vii. AGAMA LEMBAYUNG PERADABAN

Sidang perwakilan sekalian

80. Sesungguhnya yakinlah bahawa agama itu adalah pengikat kepada manifesto bangsa ini. Kecerdasan emosi (EQ) kecerdasan spiritual (SQ) dan (kecerdasan intelektual) IQ perlu disatukan seiring supaya ia menjadi suatu garapan bersama. Perhubungan kita dengan Allah SWT menjadikan kita sebagai khalifah demi kesejahteraan ummah. Demi ‘hablum minannas’ (hubungan sesama manusia) menjadikan keberadaan kita sebagai makna yang terhakikat.

81. Bangsa yang meletakkan agama sebagai asas peradaban akan kekal bermaruah. Selagi mereka mempertahankan agama, selagi itulah peradaban akan terjunjung dan terunggul. Hanya peradaban sebagai suatu diagnosis formula kepada setiap kebejatan (kerosakan) ummah. Persoalan ketamadunan dapat dirungkai sejak agama Islam dibawa oleh Rasulullah SAW. Sekiranya agama itu dilindungi maka peradaban akan terus kekal terpelihara. Agama sesungguhnya adalah teras peradaban.

82. Penawar kepada kebejatan sosial yang melanda umat Islam hari ini harus diambil dari sudut pendekatan agama. Malah, proses deradikalisasi telah terbukti berkesan menggunakan kaedah spiritualiti. Ini yang dilaksanakan oleh kerajaan.

83. Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 secara harfiah dan jelas meletakkan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Bagaimanapun agama-agama lain bebas dianuti dan diamalkan. Inilah nilai peradaban kita. Inilah perkara asas yang mesti dihayati dan difahami oleh rakyat Malaysia. Sunnatullah telah menentukan negara ini terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Wajarlah perkara ini menjadi tunjang kepada manifesto bangsa. Dan kita mahu kesilangan budaya dan ‘multi-religion approach’ harus kita pertahankan. Kita dalam UMNO dari pemimpin akar umbi, pertengahan dan atasan meminta rakan-rakan kita dalam BN turut memahami hakikat kebersamaan ini.

KPI GERAK KERJA SAYAP-SAYAP

Sidang perwakilan sekalian

84. Dalam misi kita mencapai kemenangan besar atau simboliknya 2314 (menyasarkan dua pertiga majoriti dalam PRU 14) saya ingin mengingatkan pentingnya gerak kerja di semua tiga sayap bagi melaksanakan pertanggungjawaban ini secara holistik.

85. UMNO mempunyai penyokong tegar sejak dahulu hingga sekarang. Sila pastikan 100 peratus undi ahli UMNO tetap memihak kepada BN. Kita tidak mahu ada yang masih lagi mengambil sikap tunggu dan lihat (wait and see) sehingga ke saat akhir. Pastikan undi mereka masuk ke kantung BN! Begitu juga rakan-rakan kita pemimpin dan ahli-ahli parti dalam komponen BN. Jangan kerusi mahu dikongsi, undi tidak diberi. Jangan menolak kompromi tetapi tidak boleh menang lagi. Rakan-rakan dalam BN pastikan mereka juga meminta ahli-ahli parti masing-masing meletakkan kertas undi memilih BN.

86. Duhai Kak Ijat (Mak Tok) yang cantik bergaya dan tampak anggun setiap masa, pastikanlah sasaran untuk memperolehi undi paling baik dalam PRU14 ini diterjemahkan. Buktikanlah bahawa tangan yang menghayun buaian itu mampu menggegar dan mengaut seberapa banyak undi kepada parti kita! Serlahkan semua potensi agar sayap wanita digeruni dan ditakuti lawan. Kita mampu menterjemahkan perasaan kasih sayang penuh empati, memenuhkan peti-peti undi! Saya menyeru, peganglah seerat mungkin tali ukhuwah dan sumpah setia kita dalam menghadapi musuh bangsa.

87. Tahniah! kepada Pergerakan Wanita UMNO kerana sentiasa taat dan tidak pernah derhaka, tidak pernah goyah mengikat kesetiaan kepada presiden. Naluri wanita adalah naluri keibuan. Tidak mungkin seorang ibu meninggalkan keluarganya ketika susah. Tidak mungkin seorang ibu membiarkan keluarganya berpecah kerana fitnah. Inilah ikrar Wanita tahun lalu.

88. Pergerakan Wanita UMNO sangat berjiwa besar. Sekalipun pembangkang terlalu dominan menggunakan pendekatan ‘hightech’ namun UMNO tetap mengamalkan pendekatan ‘hightouch’.

89. Apa yang dimaksudkan pendekatan ‘hightouch’? Ia lebih mudah difahami sebagai kaedah ‘person to person’atau bersemuka. Ibu terbaik bangsa iaitu Pergerakan Wanita teruslah turun ke akar umbi untuk bertemu rakyat. Bukan sekadar ketuk pintu rumah, malah ketuk pintu hati rakyat.

90. Saya lihat pendekatan ‘hightouch’ inilah yang menjadi strategi tradisi UMNO. Dahulu jentera Wanita dikenali sebagai K10 selepas itu mereka dipanggil sebagai Jalinan Rakyat (JR), kini JR Plus. Saya amat berbangga Wanita UMNO telah berjaya melancarkan JR Plus yang bekerjasama dengan Pemuda dan Puteri serta parti komponen Barisan Nasional.

91. Buat anakanda Khairy Jamaluddin (KJ) “Mr Tall, Dark and Handsome” bantulah Ibu Terbaik Bangsa. Hulurkan tangan dan kudratmu yang penuh berurat itu membantu ibu memutihkan yang kelabu! Mengesan yang tidak dapat dikesan dan mencari yang belum dibanci! Jadilah perisai di barisan hadapan dengan Briged Gempurmu. Jadikanlah pasukanmu sebagai benteng yang kukuh dan kebal yang tidak mampu ditembusi oleh pasukan musuh!

92. Pemuda harus mantap gagah dalam siap siaga sebagai wira bangsa biar halilintar datang menyambar, biar gemuruh musuh menggempur namun undur tidak sekali. Sumpah Pemuda tidak akan pulang tanpa membawa kejayaan. Pastikan semangat Pemuda UMNO, jika dibakar tidak hangus, dijemur tidak kering, direndam tidak basah, ditetak tidak putus.

93. Wahai Pemuda, jejakilah setiap desa dan ceruk rantau. Bersemukalah dengan rakyat sejujurnya agar mereka diperjelaskan dan tidak terus terperangkap oleh percaturan politik tempang pembangkang.

94. Kepada anakanda Mas yang semakin kemas. Berbaju kurung pink yang semakin ramping. Seperti kata Kak Ijat tahun lalu ‘kurung’ itu maknanya mengurung iman dan maruah. Maka jadikanlah baju kurung ini sebagai pusaka. Ibarat UMNO, pusaka bangsa yang perlu dipertahankan. Kepada puteri srikandi negara, santunilah setiap hati wanita muda, menangilah hati mereka, setia memilih BN yang berjasa.

95. Puteri Peduli memanglah padu. Ia disusun bukan terburu-buru. Hasilnya saya yakin bertambah jitu. Seiring dengan perjuangan parti, saya ambil maklum Puteri UMNO akan terus melaksanakan kepeduliannya terhadap akar umbi. Saya yakin akar umbi terutamanya dalam kalangan wanita muda akan bersama kita. Alhamdulillah, skuad #puteripeduli sudah bertebaran ke kampung-kampung bertemu dengan akar umbi. Ayuh soldadu merah jambu! Mantapkan tentera semut apimu.

96. Sebagai pemimpin Ibu Terbaik Bangsa, saya yakin Kak Ijat mampu membimbing anakanda kita daripada Pergerakan Pemuda, Puteri UMNO dengan penuh kasih sayang. Ingatlah pepatah petitih Melayu “Yang tua itu sentiasa memayungi dan menyayangi yang muda sementara yang muda pula harus sentiasa menghormati yang tua”. “Andai tiada yang lama tiadalah yang baharu”. “Yang lama dikelek yang baru dijunjung”.

97. Dalam kesempatan ini saya menyeru seluruh kepimpinan sayap UMNO di seluruh peringkat agar kita terus bersatu untuk waad kepada pemimpin utama kita Datuk Seri Najib Tun Razak. Ingatlah Melayu itu amat berseni caranya pegangan hidupnya hingga terjelma ungkapan “yang kurik itu kendi yang merah itu saga, yang molek itu budi yang indah itu bahasa”.

JAJAN 3 A!

Sidang perwakilan sekalian.

98. Jika saudara-saudari bertanya apakah yang perlu dibuat untuk menang besar? Dengarlah wahai semua pemimpin sayap dan ahli parti sekalian inilah masanya yang kita tunggu-tunggu! Resipi kemenangan yang paling ampuh harus kita kongsikan. Bekalan dan jajan untuk saudara-saudari bawa pulang telah disiapkan. Dengarlah baik-baik apa yang hendak saya perkatakan ini JAJAN 3 A!

99. Ada sesiapa yang boleh meneka apakah JAJAN 3A itu?

A yang pertama ialah: ACTION!

A yang kedua ialah: ACTION!

A yang ketiga: Juga ACTION!

100. Apabila Datuk Seri Presiden memberi arahan ACTION! kita terus menggerakkan jentera pilihan raya tanpa sebarang alasan.

— LAGI

ZAHID-UMNO (TEKS UCAPAN) 11 (AKHIR) KUALA LUMPUR

101. Dalam PRU ke-14 ini kita meletakkan matlamat besar. Kita bukan hanya ingin menang bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui Sistem ‘First-Past-The-Post’ sebaliknya kita ingin memperolehi penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan DUN dengan majoriti yang jauh lebih besar.

102. Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada Barisan Nasional bermaksud satu undi kepada PEMBENTUKAN SEBUAH KERAJAAN PERSEKUTUAN YANG BERWIBAWA DAN BERTANGGUNGJAWAB! Justeru, kita perlu memahami keperluan emosi kehendak dan citarasa “Madh’u” sebagai kumpulan sasaran kita.

103. Persoalan ini telah diperingatkan banyak kali oleh Datuk Seri Presiden kita harus menumpukan seluruh tenaga dan usaha melalui pendekatan ‘Micro-Targetting’ dan GOTV (Get Out The Voters). Tidak boleh tidak kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus ‘Retain and Regain’ semua kerusi yang kita sasarkan!

104. Kita wajib menang besar. Kita mesti utamakan parti. Justeru, ketepikan soal berkecil hati merajuk dan sabotaj parti kerana ia hanya akan melumpuhkan gerak kerja kita.

Sidang perwakilan sekalian

105. Saya telah hamparkan sebahagian gerak kerja kita sebagai jentera parti untuk berhadapan pembangkang. Sebahagian lagi saya akan lontarkan sewaktu penjelajahan saya ke seluruh negara bersama dengan rakan-rakan seperjuangan terutamanya Datuk Seri Hishammuddin, Naib Presiden dan Datuk Seri Tengku Adnan, Setiausaha Agung UMNO serta barisan pengurusan parti.

106. Kepada rakyat Malaysia budiman terutamanya bangsa Melayu, UMNO amat berterima kasih di atas sokongan dan dukungan kepada kami selama ini. Saya bagi pihak institusi kepresidenan dan parti, mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua. Keyakinan, kepercayaan serta sokongan padu bangsa Melayu membolehkan UMNO terus berdiri gah memperjuangkan kepentingan semua kaum di negara ini.

Ayuhlah duhai bangsa,

Masa kian menghampiri kita,

Medan tempur sudah di hadapan mata,

Bekalan perang sudah tersedia,

Pedang sudah di tangan,

Genggam erat strategi kemenangan,

Panglima sudah ke depan,

Marilah kalian

Marilah Ibu Terbaik bangsa

Marilah Pemuda tiang negara

Marilah Puteri srikandi pembela

Ayuh!

Kita berdiri atas nama perjuangan,

Marilah tegakkan kebenaran,

Jejak petualang kita hapuskan,

Demi sebuah kelangsungan!

Lembayung Arjana Bangsa!

Hidup UMNO!

Dengan lafaz “Fassabih Biham Dirob Bikawas Taghfir Innahu Kanatau Waba”, saya dengan ini merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2017.

Sekian Terima Kasih, Selamat bersidang.