KUALA LUMPUR, 9 Nov – AMALKAN….. Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) ada pelan peralihan tersendiri yang sudah lama diamalkan.

Pengarah Urusan, Tan SriĀ Azman Mokhtar, berkata berdasarkan rekod syarikat pengurus dana kerajaan itu sebelum ini, pengganti diumumkan enam bulan sebelum kontrak penyandang tamat.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa laporan mengenai beberapa calon yang disebut-sebut akan menggantikannya menerajui Khazanah.

Azman yang sudah bersama Khazanah sejak 14 tahun lalu berkata, ketika ini tumpuannya adalah melaksanakan tugas seperti diamanahkan.

“Kami sudah lalui pelbagai kejayaan dari segi kewangan dan strategik. Sekarang banyak bakat di dalam dan di luar sudah Khazanah lahirkan. Saya susah untuk komen (mengenai pengganti) sebab saya masih ada 19 bulan di sini,” katanya.

Azman berkata, kontraknya di Khazanah yang sudah lima kali diperbaharui hanya tamat pada Mei 2019.

“Sememangnya kami membaca laporan (berita) itu. Khazanah sebagai sebuah institusi yang penting kepada kerajaan, …kita sudah ada pelan peralihan ini. Memang sudah ada dah lama.

“(Ketika ini) saya ada 19 bulan lagi (kontrak). Saya pun baru berusia 56 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Azman menolak andaian media bahawa jawapan itu memberi petunjuk beliau mahu terus kekal bersama Khazanah.

“Perkara itu tidak timbul sama sekali. Ahli Lembaga Pengarah kita pun sudah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Mereka akan tentukan yang mana terbaik di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah Pengerusi di sini,” katanya.

Akhbar Singapura, The Straits Times sebelum ini melaporkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda disebut-sebut sebagai seorang daripada dua calon luar yang dijangka mengisi kekosongan jawatan Pengarah Urusan Khazanah Nasional, menggantikan Azman.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, juga turut disebut-sebut sebagai calon.

Dalam laporan itu juga, Pengarah Eksekutif Khazanah iaitu Datuk Hisham Hamdan dan Ahmad Zulkarnain Onn dilaporkan antara dua calon yang disenarai syarikat terbabit.

Khazanah, dengan aset bernilai RM145 bilion setakat penghujung 2016, adalah syarikat pelaburan kerajaan paling penting dan mengawal kepentingan langsung dalam pelbagai syarikat tersenarai seperti CIMB, Telekom Malaysia, Tenaga Nasional Bhd dan IHH Healthcare. – WD MY