KUALA LUMPUR, 22 Mac – AMBIL ALIH…. Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pulau Memutik Ventures Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli saham (SPA) untuk mengambil alih 100 peratus kepentingan Prince Court Medical Centre (PCMC) daripada PETRONAS Hartabina Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh PETRONAS.

Pengambilalihan strategik itu adalah satu lagi pencapaian penting bagi Khazanah dalam misinya untuk terus membangunkan sektor perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Khazanah akan menggunakan segala pengalaman dan kepakaran yang dimilikinya untuk mentransformasi PCMC menjadi sebuah hospital bertaraf dunia dalam segmen pelancongan perubatan dan seterusnya menjadikan Kuala Lumpur sebagai salah sebuah destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan berkualiti di rantau ini.

Pengambilalihan PCMC itu juga sejajar dengan aspirasi peringkat nasional antara lainnya menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP), iaitu untuk menggalakkan segmen pelancongan perubatan.

Seiring dengan pemeteraian SPA itu, Khazanah turut menandatangani satu lembaran terma Perjanjian Kerjasama dengan IHH Healthcare Bhd (IHH) bagi sokongan perkhidmatan bersama dan inisiatif peningkatan operasi di PCMC.

IHH akan diberikan hak penawaran pertama untuk menguasai PCMC semasa tempoh yang sudah dipersetujui.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata sayap pelaburan kerajaan itu amat gembira kerana berpeluang mengambil alih sebuah hospital terkemuka seperti PCMC amat jarang diperoleh.

“Kami sudah melabur dalam Pantai Holdings Bhd pada tahun 2006 dan mentransformasi kumpulan berkenaan menjadi apa yang kita dikenali pada hari ini sebagai IHH, iaitu sebuah hospital senaraian awam terbesar dalam pasaran membangun yang memiliki kira-kira 10,000 katil di 10 buah negara.

“Dengan bekerjasama dengan IHH, kami berhasrat untuk mengangkat kedudukan PCMC menjadi sebuah hospital terkemuka yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia untuk pelancong perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Di bawah terma SPA dengan PETRONAS, Khazanah akan mengambil alih PCMC pada harga yang dipersetujui setara dengan penilaian pasaran, yang perlu dibayar setelah selesai urus niaga itu kelak.

Khazanah menjangkakan urus niaga berkenaan akan dimuktamadkan menjelang akhir suku kedua tahun ini. – WD MY