KUALA LUMPUR, 25 Mei – Khazanah Nasional Bhd, pemegang saham
tunggal Malaysian Airline System Berhad (MAS) mengumumkan pelantikan Datuk Mohammad Faiz Azmi
sebagai Pentadbir bagi syarikat penerbangan itu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan pentadbir berkenaan dijangka memudahkan pemindahan aset dan
liabiliti terpilih daripada MAS kepada syarikat baharu, Malaysia Airlines
Bhd (MAB), menjelang 1 Sept, 2015, demikian menurut Khazanah dalam satu
kenyataan hari ini.

MAS akan terus beroperasi sehingga 31 Ogos 2015, termasuk pada hari tersebut
dan seterusnya MAB akan mengambil alih dan mengendalikann operasi syarikat
penerbangan itu pada 1 Sept, 2015, katanya.

Pelantikan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Khazanah dan dibuat
mengikut Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS), yang
telah diluluskan di Parlimen tahun lepas.

Akta MAS memperuntukkan kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi
peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Peralihan daripada MAS ke MAB merupakan antara 12 komponen penting di bawah
Pelan Pemulihan MAS (PPM), yang telah diumumkan pada 29 Ogos, 2014, bagi
menyediakan garis panduan penyusunan semula syarikat penerbangan itu bagi
mengembalikannya ke landasan keberuntungan yang mampan.

PPM turut menyatakan pendanaan pelaburan bersyarat oleh Khazanah yang
berjumlah sehingga RM6 bilion, yang akan diagihkan secara berperingkat-peringkat
dan tertakluk kepada syarikat penebrbangan itu memenuhi syarat-syarat ketat yang
ditetapkan.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY