ALOR SETAR, 30 April – Cedera……. Sembilan belas orang dilapor cedera termasuk seorang tidak sedarkan diri dalam kejadian ribut yang meranapkan khemah utama di  Kompleks PAS Kedah, venue Muktamar PAS  ke-63, malam tadi.

Kejadian berlaku pada pukul 7.25 malam membabitkan khemah yang menempatkan pameran dan jualan Kelab Keusahawanan Haraki (KU-Haraki).

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Mohd Naim Mat Jaaffar berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 7.43 malam.

Katanya berdasarkan laporan awal yang diterima, 19 mangsa cedera dengan 13 daripadanya dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini. Seorang daripada mangsa dirawat di zon merah, sembilan di zon kuning dan tiga lagi di zon hijau, manakala bagi enam yang lain hanya dirawat di lokasi kejadian.

“Pihak hospital belum dapat memberikan maklumat mengenai tahap kecederaan dan identiti mangsa yang terlibat.

“Kami dimaklumkan bahawa ketika kejadian dianggarkan terdapat 3,000 orang berada di lokasi tersebut dan mangsa yang cedera akibat runtuhan telah dibawa ke hospital oleh orang awam, sebelum pasukan bomba tiba, ” katanya.

Majlis Makan Malam Dana Kompleks Kedah yang dijadual berlangsung pada pukul 8.30 malam tadi terpaksa dibatalkan.

Kawasan khemah berkenaan pula ditutup sepenuhnya oleh pihak berkuasa manakala media tidak dibenarkan berada di lokasi kejadian. – WD MY