PUTRAJAYA, 8 Mac – SAMBUNG….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh perkhidmatan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, disambung setahun lagi.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya masih menunggu surat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

“Tempoh perkhidmatan Noor Rashid akan disambung setahun lagi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata disidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 hari ini.

Noor Rashid, 60, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Disember 2014 dan bakal bersara wajib pada 17 Mac ini.

Noor Rashid pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Najmuddin Mohd, tidak perlu digantung tugas atau mengambil cuti seperti desakan beberapa pihak.

Katanya, Wan Najmuddin sudah memberi penjelasan sepenuhnya mengenai isu akaun bank di Australia.

“Beliau (Wan Najmuddin) perlu kekal di situ dan tidak perlu mengambil cuti,” katanya. – WD MY