WASHINGTON, 11 Jun – AGEN…. Abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam yang dibunuh di Malaysia pada 2017 adalah pemberi maklumat Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), kata Wall Street Journal semalam.

Akhbar yang memetik sumber terdekat dengan kes itu berkata, banyak maklumat mengenai hubungan Kim Jong-nam dengan CIA masih lagi kabur.

CIA enggan mengulas lanjut ketika dihubungi Reuters.

Menurut akhbar berkenaan, sumber berkata bahawa wujud kaitan di antara CIA dan Jong-nam.

“Beberapa bekas pegawai AS berkata, abang kepada Kim Jong-un yang menetap di luar Korea Utara sejak sekian lama dan tidak mempunyai pengaruh di Pyongyang tidak mungkin dapat memberikan maklumat rahsia mengenai negara itu,” lapor akhbar berkenaan.

Tambah mereka, Jong-nam berkemungkinan besar ada berhubung dengan perkhidmatan keselamatan di negara lain terutamanya China.

Peranan Jong-nam pemberi maklumat CIA ada disebut di dalam sebuah buku baru mengenai Kim Jong-un berjudul ‘The Great Successor’ oleh wartawan Washington Post, Anna Fifield yang dilancarkan hari ini.

Fifield yang memetik sumber kuat perisikan berkata, Jong-nam lazimnya akan bertemu dengan pengendalinya di Singapura dan Malaysia.

Buku itu menyebut, bahawa imej dari kamera keselamatan litar tertutup lawatan terakhir Jong-nam ke Malaysia menunjukkan beliau berada di dalam lif bersama seorang lelaki Asia yang dilaporkan sebagai ejen perisikan AS.

Katanya, beg galas Jong-nam juga mengandungi wang tunai AS$120,000 (RM500,000) dipercayai bayaran untuk sebarang aktiviti berkaitan perisikan atau hasil daripada perniagaan kasino beliau.

Korea Selatan dan AS mendakwa pihak berkuasa Korea Utara mengarahkan pembunuhan Jong-nam yang sering mengecam pentadbiran dinasti keluarganya. Pyongyang menafikan semua dakwaan itu.

Susulan pembunuhan itu, dua wanita didakwa meracun Jong-nam menggunakan agen saraf VX di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur, pada Februari 2017.

Malaysia membebaskan seorang wanita warga Vietnam, Doan Thi Huong pada Mei lalu dan seorang wanita warga Indonesia, Siti Aisyah pada Mac. – WD MY