Kim Jong-Un Ahli Politik Rasional Kata Agensi Perisikan Pusat

0
53

WASHINGTON, 5 Okt – RASIONAL…… Kim Jong-Un Pemimpin Korea Utara, seorang ahli politik rasional dan Amerika Syarikat (AS) perlu memahaminya jika mahu berurusan dengan negara bersenjata nuklear itu.

Seorang pakar Korea di Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang juga Timbalan Penolong Pengarah Pusat Misi Korea, Yong Suk Lee berkata, di sebalik kelancangannya, Jong-Un adalah seorang ahli politik rasional.

“Kita mempunyai kecenderungan di negara ini (AS) untuk memandang rendah sikap konservatif beliau.

“Pemimpin itu (Jong-Un) mahu memerintah untuk satu masa yang lama dan mati di atas katilnya sendiri,” kata Suk Lee dalam satu persidangan CIA di Universiti George Washington.

Ahli politik AS termasuk Presiden Donald Trump berulang kali mengecam orang kuat Pyongyang itu sebagai tidak rasional dan ‘gila.’

Namun Suk Lee berkata, fokus Jong-Un adalah untuk kekal berkuasa seperti mana ditunjukkan dalam pembunuhan abangnya, Jong-Nam di Malaysia Februari lalu, dipersalahkan ke atas ejen Pyongyang.

“Semua politik berunsur tempatan,” katanya merujuk kepada persekitaran Korea Utara.

Sejarah panjang negara itu yang dikelilingi kuasa lebih besar bermaksud Korea Utara kerap mempertahankan diri dan pemimpinnya bertanggungjawab untuk tindakan itu.

“Korea Utara adalah satu organisme politik yang berkembang dalam konfrontasi. Bangun tidur dan memutuskan untuk melancarkan peluru berpandu nuklear ke atas Los Angeles bukan minatnya untuk satu kelangsungan kuasa,” katanya. – WD MY