SEOUL, 14 APRIL – BERTEMU…… Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un sedia bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump buat kali ketiga sekiranya Washington membawa ‘sikap yang betul’ ke meja rundingan, kata media rasmi hari ini.

Jong-un juga sanggup menunggu sehingga akhir tahun ini untuk AS membuat keputusan berani itu, selepas sidang kemuncak bersama Trump di Vietnam baru-baru ini gagal mencapai sebarang persetujuan.

Washington mendakwa pertemuan Februari lalu bertemu jalan buntu kerana Utara menuntut pelepasan sekatan sebagai balasan kepada pelucutan terhad program senjata nuklear, namun Pyongyang mendakwa ia hanya mahu sebahagian saja sekatan diringankan.

Dalam ucapannya di parlimen semalam, Jong-un berkata pertemuan di Hanoi membuat beliau mempersoalkan sama ada Washington benar-benar berminat memperbaiki hubungan dengan Pyongyang.

“Kami bersedia mencuba lagi jika AS menawarkan untuk mengadakan sidang kemuncak ketiga dengan sikap yang betul dan syarat yang boleh dipersetujui bersama,” katanya, menurut laporan media rasmi Korea Utara, KCNA.

Jelas Jong-un, hubungan peribadinya dengan Trump juga kekal kukuh sehingga kini.

“Kami akan menunggu dengan penuh sabar sehingga akhir tahun ini untuk AS membuat keputusan yang berani,” katanya.

Trump dan Jong-un mengadakan sidang kemuncak bersejarah pertama mereka di Singapura Jun lalu, di mana pasangan itu menandatangani satu perjanjian berkaitan ‘penamatan program nuklear semenanjung Korea’ yang sangat kabur. – WD MY