Kim Yo Jong Dipilih Sebagai Pembuat Dasar Kerajaan Korea Utara

0
45

SEOUL, 10 Okt – DIPILIH…… adik perempuan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dipilih dalam badan membuat keputusan negara itu tanda beliau mahu mengukuhkan kedudukannya dengan menarik orang paling penting rapat dengan pusat kuasa.

Media rasmi memetik pakar dan pegawai berkata, Kim Yo Jong, 28, dinamakan sebagai anggota alternatif jawatankuasa pembuat dasar (politburo) dalam parti pemerintah Parti Pekerja Korea, di mana urusan penting negara itu dibuat.

Ia menjadikannya wanita kedua di Korea Utara menyertai kelab ekslusif itu selepas Kim Kyong Hui, yang memegang peranan penting apabila abangnya Kim Jong Il memerintah negara itu.

“Oleh kerana Yo Jong seorang wanita, Jong-Un kemungkinan tidak melihatnya sebagai ancaman dan cabaran terhadap kepimpinannya.

“Seperti mana pepatah mengatakan, darah lebih pekat daripada air, Jong-Un beranggapan Yo Jong boleh dipercayai,” kata penyelidik felo di Institut Strategi Keselamatan Nasional, Moon Hong-sik.

Tidak seperti ibu saudaranya, Kyong Hui, kebangkitan kuasa Yo Jong berada di tahap tidak dijangka.

Kyong Hui bagaimanapun tidak kelihatan sejak suaminya, Jang Song Thaek, satu ketika dulu dianggap pemimpin nombor dua di Pyongyang, dihukum bunuh pada 2013.

Agensi perisikan Korea Selatan percaya, beliau kini berada di tempat terpencil berhampiran Pyongyang, menjalani rawatan untuk penyakit tidak diketahui, menurut satu taklimat kepada parlimen Ogos lalu.

Song Thaek dan isterinya, bukan satu-satunya saudara yang tidak mendapat sokongan Jong-Un.

Abangnya, Jong Nam, dibunuh menggunakan agen toksik saraf di sebuah lapangan terbang Malaysia Februari lalu. Dua wanita sedang dibicarakan atas tuduhan membunuh, yang mana pihak berkuasa Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) percaya rejim Jong-Un menjadi dalangnya.

Yo Jong, dengan rambutnya diikat ekor kuda dan sering memakai sut hitam dan kasut tinggi warna sama, membuat kemunculan pertama dalam media tempatan pada Disember 2011, berdiri sambil menangis bersebelahan Jong-Un pada majlis pengebumian bapa mereka. – WD MY