KINI, Ahli politik boleh dilantik teraju GLC kata Azmin

KINI, Ahli politik boleh dilantik teraju GLC kata Azmin

445
0

KUALA LUMPUR, JAN 9: LANTIKAN POLITIK… Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali mahu memperbetul salah faham orang ramai tentang lantikan politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

Timbalan Presiden PKR itu berkata, ahli politik juga boleh dilantik untuk menerajui mana-mana GLC sekiranya mempunyai kelayakan yang mencukupi.

Beliau berkata, ini kerana ada sebilangan ahli politik merupakan golongan profesional dan mereka mampu membangunkan GLC seperti yang dikehendaki kerajaan.

“Memang kita bersetuju tidak ada ganjaran politik dalam mana-mana GLC tetapi bukan dalam konteks bahawa ahli politik tidak boleh pegang jawatan.

“Ada juga ahli politik yang profesional dalam kalangan akauntan, jurutera, arkitek yang boleh menyumbang kepada pembangunan GLC yang berkenaan. Namun tidak boleh dalam kalangan pihak eksekutif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat eksekutif baharu Dewan Perniagaan Amerika Syarikat-Malaysia (Amcham) di Faber Imperial Court, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Azmin turut menegaskan beliau bersetuju untuk memberi keutamaan kepada golongan profesional.

“Jika ada ahli politik yang mempunyai merit dari segi kemahiran dan kelayakan, boleh dipertimbangkan tetapi bukanlah keutamaan,” katanya.

Janji ke-22 dalam manifesto Pakatan Harapan menetapkan lantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri mesti dalam kalangan profesional, bukan mereka yang mempunyai kaitan politik.

Janji yang tertulis dalam dokumen manifesto mereka berbunyi: “Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan golongan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka”.-MY WD