KUALA LUMPUR, MAC 10: Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahkan pihak lain termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh diibaratkan melepaskan tangan dengan tidak melaksanakan tanggungjawab.

Untuk makluman air adalah di bawah kuasa dan tanggungjawab kerajaan negeri kata Presiden Sukarelawan Malaysia Isham Jalil.

“Mengikut Persatuan Air Malaysia, separuh daripada keseluruhan jumlah kes terputus bekalan air di seluruh negara pada tahun kebelakangan ini berlaku di Selangor iaitu sebanyak 80,000 kes berbanding 160,000 kes di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh yang menyalahkan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) berhubung bekalan air terputus di negeri itu pula umpama ‘meludah ke langit’ dan menyalahkan diri sendiri.

“Ini kerana, Splash adalah syarikat yang dimiliki oleh kerajaan negeri yang memegang 30 peratus ekuiti syarikat tersebut melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad,” katanya.

BACA: Isu air: Kerajaan Selangor cuba bantu Splash – Azmin

Isham berkata jika  Azmin dan kerajaan negeri Selangor tidak boleh menyelesaikan masalah air Selangor, bolehlah meletakkan jawatan dan menyerahkan tanggunjawab itu kepada mereka yang lebih layak. Ini kerana rakyat menjadi mangsa akibat sika Azmin yang tidak bertanggungjawab.

Pada Selasa lepas, Syabas memaklumkan beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja pembaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) di Bestari Jaya, Kuala Selangor mulai 6 hingga 9 Mac.

Bagaimanapun, tempoh pemulihan berkenaan tersasar daripada jangkaan apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100 mm rosak dengan dua daripadanya pecah serta terpelanting keluar daripada strukturnya.

Kejadian itu menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang termasuk Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terus terputus bekalan air sehingga Ahad. – MY WD